Aktiviti perfileman boleh diteruskan selepas Hari Raya dengan SOP ketat - Saifuddin

Kelulusan diberikan semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pagi semalam.

Kerajaan dilaporkan akan meneliti butiran SOP yang dikemukakan untuk industri filem iklan sebelum membuat keputusan selepas ia dibentangkan dalam mesyuarat khas jawatankuasa peringkat menteri Selasa lepas. - Gambar hiasan | Astro Awani
Kerajaan telah memberi lampu hijau kepada industri perfileman untuk meneruskan aktivitinya selepas Aidilfitri, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata kelulusan itu diberikan semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pagi semalam.

"Minggu lepas, setelah berunding dengan pelbagai persatuan, kami telah membuat pembentangan dalam mesyuarat menteri mengenai COVID-19 yang mana hampir separuh anggota Kabinet hadir.

"Kami membentangkan permohonan bagi membenarkan pembikin filem sama ada yang ingin melakukan penggambaran drama, dokumentari atau iklan dibenarkan berbuat demikian.

"Jadi, mereka kini dibenarkan melakukan penggambaran dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bermula selepas Hari Raya," katanya semasa Episod Siaran Langsung Facebook Duduk Rumah Harith Iskander bertajuk 'Masa Depan Siaran Langsung Hiburan' Pasca-Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) malam tadi.


Kerajaan dilaporkan akan meneliti butiran SOP yang dikemukakan untuk industri filem iklan sebelum membuat keputusan selepas ia dibentangkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam mesyuarat khas jawatankuasa peringkat menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Selasa lepas.

Ismail Sabri dipetik sebagai berkata biasanya terdapat kes yang menyaksikan tiada penjarakan sosial semasa proses perfileman.

Sementara itu, menyentuh mengenai kelulusan atau kebenaran untuk mengadakan persembahan langsung, Saifuddin berkata perkara ini masih dalam perbincangan dan menunggu kelulusan daripada mesyuarat jawatankuasa MKN.

Beliau berkata penggiat industri meminta garis panduan dan kebenaran daripada pihak berkuasa sebelum mereka boleh meneruskan persembahan langsung mereka.

"Buat masa ini, mereka (jawatankuasa) berkata mereka perlu mengadakan penilaian bagi jumlah khalayak yang lebih besar, di dalam dewan atau tempat orang ramai bertemu untuk menonton wayang atau persembahan.

"Kami tidak mempunyai keputusan namun kami telah membentangkan kes kami iaitu sekurang-kurangnya kami memerlukan petunjuk mengenai bila persembahan langsung akan dibenarkan.

"Sekurang-kurangnya mereka memerlukan tempoh selama tiga bulan untuk melakukan persiapan selepas mendapat kebenaran.

"Kami telah melakukan pembentangan dan kini kami perlu menunggu jawatankuasa itu membuat keputusan mereka," katanya.

Saifuddin juga berkata beliau akan bertemu pemain industri termasuk Harith Iskander di pejabat beliau pada Khamis ini untuk lebih memahami operasi program secara langsung dan produksinya.

-- BERNAMA