Aktiviti penggambaran dibenarkan tetapi bersyarat - Ismail Sabri

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri pada Rabu bersetuju untuk membenarkan aktiviti penggambaran dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ismail Sabri Yaakob menegaskan kebenaran itu dibuka dengan syarat dan krew penggambaran perlu mematuhi SOP. - Gambar hiasan | Astro Awani
Mesyuarat Khas Menteri-Menteri pada Rabu bersetuju untuk membenarkan aktiviti penggambaran dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Namun demikian Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kebenaran itu ‘dibuka’ dengan syarat dan kru penggambaran perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau juga menjelaskan penggambaran hanya dibenarkan selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri dan setakat ini semua penggambaran termasuk persembahan secara langsung yang melibatkan tontonan adalah masih tidak dibenarkan.


Berikut adalah SOP yang perlu diambil tahu sebelum menjalankan penggambaran:

1. Mesyuarat dan uji bakat dilakukan secara dalam talian.

2. Mengemukakan rekod perjalanan semua tenaga produksi dan artis bagi tempoh empat minggu sebelum penggambaran.

3. Memastikan tidak lebih daripada 20 orang terlibat dalam setiap sesi penggambaran.

4. Syarikat produksi perlu melantik seorang penyelia keselamatan bagi memastikan pematuhan SOP di semua peringkat produksi.

5. Perkhidmatan buffet bagi petugas dan artis adalah tidak dibenarkan dan makanan perlu dihidangkan secara pek individu.

6. Jurusolek dan penata rias perlu menggunakan face shield dan memastikan mencuci tangan sebelum dan selepas menyolek dan menata rias setiap artis.