ADUN Slim, Khusairi Talib meninggal dunia

Allahyarham yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dilaporkan meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang kerana mengalami serangan jantung.

Allahyarham yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dilaporkan meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang kerana mengalami serangan jantung. - Foto Fail | Astro Awani
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dilaporkan meninggal dunia petang tadi.

Allahyarham yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dilaporkan meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang kerana mengalami serangan jantung.

Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan perkara tersebut.

"Kami sedang uruskan jenazah dan kita tunggu keputusan keluarga berkenaan bawa pulang jenazah ke Tanjung Malim," katanya.

Menurut laporan Bernama, Allahyarham dikatakan tiba-tiba rebah ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

Media difahamkan jenazah akan dibawa pulang ke Tanjung Malim malam ini.

Khusairi, 59 tahun merupakan bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu menang kerusi DUN Slim pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu dengan majoriti 2,183 undi menentang calon PKR dan PAS.