ADUN Johor tak hantar borang isytihar harta boleh kena tindakan disiplin

ADUN Johor diminta memaklumkan kepada Dewan Undangan Negeri secara rasmi (bersurat) sekiranya memerlukan masa untuk menghantar borang pengisytiharan harta atau boleh dikenakan tindakan disiplin.

Aminolhuda menyerahkan borang pengisytiharan harta 27 ADUN yang terdiri daripada ahli DAP (14), Amanah (9) dan PKR (4) kepada Suhaizan (depan, kiri) di Pejabat Speaker Kota Iskandar, 31 Mei, 2020. --fotoBERNAMA | Astro Awani
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor diminta memaklumkan kepada Dewan Undangan Negeri secara rasmi (bersurat) sekiranya memerlukan masa untuk menghantar borang pengisytiharan harta atau boleh dikenakan tindakan disiplin.

Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat berkata sebahagian ADUN yang ingin memohon lanjutan tempoh dan masa untuk menghantar borang pengisytiharan harta berkenaan perlu menghantar surat kepada beliau.

"Ada yang minta tangguh tetapi baru disebut dalam telefon, jadi, saya minta surat kalau ada alasan kukuh kita pertimbangkan... dengan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan, COVID-19, hantar surat dahulu baru akan dipertimbangkan.

"Kalau ADUN tidak hantar notis (borang), dia seperti mengingkar keputusan sidang Dewan, jadi akan mendedahkan diri kepada tindakan disiplin," katanya selepas menerima borang pengisytiharan harta daripada Ketua Pembangkang Johor yang juga penyelaras Pakatan Harapan (PH) negeri, Aminolhuda Hassan.

Suhaizan berkata selain daripada ADUN PH, beliau turut menerima penyerahan borang sama daripada ADUN Perikatan Nasional.

Sementara itu, Aminolhuda yang juga ADUN Parit Yaani berkata kesemua 27 ADUN PH terdiri daripada 14 DAP, Parti Amanah Negara (sembilan) serta Parti Keadilan Rakyat (empat) telah menghantar borang pengisytiharan harta secara manual dan melalui pos.

Beliau berkata borang pengisytiharan harta berkenaan wajib diserahkan seperti mana diluluskan pada Persidangan DUN Johor, 1 Dis tahun lepas dan akan tamat penyerahannya sebelum 1 Jun.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan PN menguasai 29 kerusi manakala PH 27 kerusi.

-- BERNAMA