Ada MPPWP tidak aktif, perlu disusun semula - Annuar Musa

Bagaimanapun Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan boleh cadangkan nama untuk anggotai MPPWP yang baharu, kata Annuar.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan boleh cadangkan nama untuk anggotai MPPWP yang baharu, kata Annuar. - Gambar fail/Astro AWANI | Astro Awani
Keputusan penamatan khidmat ahli Majlis Perwakilan Penduduk di Wilayah Persekutuan (MPPWP) adalah perlu bagi memberi nafas baharu, serta meningkatkan lagi fungsinya, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Dalam satu kenyataan hari ni, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau akui MPPWP adalah sebuah entiti yang amat penting dan perlu berfungsi seperti yang ditetapkan di dalam kertas dasar Jemaah Menteri.

Namun beliau mendapat laporan bahawa terdapat sebahagian besar MPPWP yang tidak aktif dan tidak pernah menghantar sebarang laporan kegiatan dan perbelanjaan seperti yang disyaratkan sejak ahli-ahlinya dilantik.

“Malah banyak yang tidak pernah menghantar laporan walaupun peruntukan telah dibelanjakan. Selain itu, pihak KWP juga menerima banyak aduan daripada penduduk setempat yang tidak berpuas hati kerana MPPWP tidak aktif dan berfungsi dengan baik,” katanya lagi.

Demi kepentingan masyarakat awam, Annuar berkata, KWP sedang menyusun semula MPPWP dan akan digerakkan segera tidak lama lagi.

“InsyaAllah, Ahli-ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan boleh mencadangkan nama-nama individu terutama yang aktif dan berkebolehan dalam persatuan penduduk untuk menduduki MPPWP ini,” kata Annuar.

Sebelum ini 10 ahli parlimen di Wilayah Persekutuan menggesa Annuar mengkaji keputusan menamatkan perkhidmatan semua ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di bawah kawasan pilihan raya mereka.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata keputusan penamatan serta-merta itu memberi impak kepada masyarakat terutamanya ketika negara sedang menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan yang berlanjutan hingga 14 April ini.