807 Ops Sanitasi Awam telah dijalankan di 86 zon seluruh negara - Ismail Sabri

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, proses itu turut dijalankan di 21 Zon Merah dan 18 Zon Jingga.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di Putrajaya. Gambar: Fail | Astro Awani
Kerajaan telah menjalankan 807 Ops Sanitasi Awam di 86 zon di seluruh negara sehingga Selasa.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, proses itu turut dijalankan di 21 zon merah dan 18 zon jingga.

"Semalam (Selasa), sebanyak 141 operasi sanitasi meliputi 54 zon di 12 negeri, ia termasuk 39 kawasan di Johor dan 27 kawasan di Melaka.

"Kawasan yang turut dinyah cemar adalah sebanyak 621 bangunan kerajaan dan 370 tempat awam," katanya.

Ops Sanitasi Awam dibawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu jelasnya turut dijalankan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Sehingga kini, sebanyak 10 PPR melibatkan 12,459 unit rumah telah dinyah cemar dan sebanyak 14 PPR di dalam proses nyah cemar yang melibatkan 19,342 unit rumah," kata Menteri Kanan itu dalam sidang media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya pada Rabu.