72 anggota polis dibuang kerja - Ketua Polis Negara

Sejumlah 72 anggota polis dibuang kerja atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

72 anggota polis dibuang kerja - Ketua Polis Negara | Astro Awani
Sejumlah 72 anggota polis dibuang kerja atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata ada dalam kalangan mereka berpangkat Superintendan dan Deputi Superintendan selain anggota berpangkat rendah.

Menurutnya, setakat ini 1,484 anggota polis dikenakan tindakan tahun ini.

"Mereka melakukan pelbagai kesalahan seperti salah laku kuasa, cuai, gagal hadir bertugas dan terbabit dengan aktiviti jenayah," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar pemantapan integriti di sini pada Isnin.

Beliau turut berkata 3,096 kes kesalahan tatatertib melibatkan kakitangan polis direkodkan tahun lalu, namun ia dapat dikurangkan tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata polis masih menunggu laporan lengkap daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan 12 anggota polis di Sabah kerana disyaki menerima rasuah sejak 2014.

Beliau berkata mereka belum digantung tugas memandangkan siasatan baru bermula.

"Kami perlu bertindak adil kepada mereka," kata Mohamad Fuzi.

Menurut laporan media, mereka yang ditahan semalam terdiri daripada lima anggota berpangkat Koperal, tiga Lans Koperal, dua Sarjan dan dua Inspektor.

-- BERNAMA