66 rakyat Malaysia pulang dari Wuhan negatif COVID-19 - Dr Noor Hisham

Saringan kesihatan melalui ujian pengesanan COVID-19 semasa ketibaan mendapati kesemua mereka negatif virus itu

66 rakyat Malaysia pulang dari Wuhan negatif COVID-19 - Dr Noor Hisham | Astro Awani
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 66 rakyat Malaysia dari Wuhan yang tiba di Kuala Lumpur Rabu lepas berada dalam keadaan sihat.

Dalam kenyataan pada Sabtu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini tiada kes baharu jangkitan COVID-19.

“Saringan kesihatan melalui ujian pengesanan COVID-19 semasa ketibaan mendapati kesemua mereka negatif virus itu.

“Bagaimanapun mereka akan terus berada di Pusat Pemantauan (Surveillance Center) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai, Negeri Sembilan sehingga 11 Mac ini,” kata beliau.

Mereka yang dibawa pulang membabitkan 66 individu dengan 46 adalah warganegara, manakala 20 lagi (pasangan dan anak) bukan warganegara yang bermastautin di Wuhan dan kawasan sekelilingnya.

“Tiada kes baharu dilaporkan pada hari ini (Sabtu) dan jumlah positif Covid-19 di Malaysia kekal 25 kes.

“Tiga kes (kes 23, 24 dan 25) berada di dalam keadaan yang stabil,” jelasnya.

Semalam (Jumaat), dua kes baharu COVID-19 dilaporkan melibatkan wanita warga Jepun berusia 41 tahun yang bekerja di Malaysia serta lelaki Itali berumur 54 tahun.

Manakala Khamis lepas, satu lagi kes membabitkan seorang wanita tempatan berusia 53 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun

Daripada 25 kes positif itu, sebanyak 22 kes telah sembuh dan dibenarkan discaj, menjadikan kes yang masih menerima rawatan di wad pada ketika ini ialah tiga orang dan mereka berada dalam keadaan stabil.