5 topik untuk sembang hari ini

Sebelum memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.

Sebelum memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu. | Astro Awani
SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.


1. Lokasi ke-3 PKPD

Kerajaan pada Isnin mengambil keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di keseluruhan Menara City One, Jalan Munshi Abdullah di sini bermula tengah malam semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Menteri Kesihatan.

Ia selepas 17 kes positif jangkitan COVID-19 dilaporkan di menara tersebut.

Tindakan PKPD yang dilaksanakan di tiga kawasan yang terjejas teruk berikutan terdapat pertambahan secara mendadak jangkitan kes COVID-19 dalam tempoh singkat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata langkah itu diambil bagi memastikan penularan wabak berkenaan dapat diputuskan daripada terus mereka di kawasan terbabit.



2. Harga siling topeng muka RM1.50

Kerajaan mengumumkan harga siling bagi topeng muka pada kadar RM1.50.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, harga berkenaan sekali gus lebih rendah berbanding yang ditetapkan pada RM2.00 sebelum ini.

Bagaimanapun, kerajaan akan mengkaji semula dari semasa ke semasa harga siling berkenaan.



3. Kes pulih tertinggi

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan jumlah kes pulih daripada jangkitan COVID-19 paling tinggi setakat ini iaitu sebanyak 91 kes berbanding sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua mereka telah dibenarkan discaj sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya COVID-19 sebanyak 479 kes.

KKM, dalam pada itu, mengesahkan terdapat tiga lagi kes kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 37 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat 12 tengah hari Isnin, terdapat 156 kes positif baharu dan ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 2,626 kes.

Katanya, sehingga kini, seramai 94 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.



4. Sumbangan cecah RM14.2 juta

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin menerima sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM4.25 juta dan peralatan keperluan kesihatan bernilai lebih RM26 juta daripada enam syarikat korporat untuk Tabung COVID-19.

Sumbangan yang diterima hari ini menjadikan wang tunai terkumpul yang diterima untuk Tabung COVID-19 kini mencecah RM14.2 juta.

Kesemua sumbangan itu disampaikan kepada Muhyiddin oleh wakil syarikat korporat di bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.



5. Pakar jantung mengaku tidak bersalah

Seorang pakar jantung sebuah klinik swasta di Pulau Pinang mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menghalang penjawat awam dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mahkamah Majistret Georgetown hari ini.

Tertuduh, Dr Ong Hean Teik, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.

Sementara itu, tangkapan ke atas mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat kepada 828 individu, ujar Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, trend peningkatan berkenaan menunjukkan tindakan serius Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap perintah berkenaan.

Beliau turut mengumumkan semua premis perniagaan yang menjual barangan keperluan termasuk pasar raya serta stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 8 malam pada Fasa Kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa esok.