5 topik untuk sembang hari ini

Sebelum memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.

5 topik untuk sembang hari ini | Astro Awani
SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu:


1. Terkini COVID-19

Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan mana-mana kapal persiaran yang berlepas atau transit di mana-mana pelabuhan di negara China daripada memasuki Malaysia.

Ia susulan seorang wanita warga Amerika (AS), yang juga penumpang dari kapal persiapan mewah MS Westerdam yang berlabuh di Kemboja pada Khamis lalu, disahkan positif koronavirus (COVID-19) ketika memasuki Malaysia pada Sabtu.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu lewat malam tadi, enam penumpang kapal persiaran mewah itu yang terdiri daripada empat warga Amerika Syarikat dan dua warga Netherlands disahkan negatif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada Ahad malam mengesahkan kesemua mereka dalam keadaan sihat.

Dalam perkembangan berkaitan juga, Persatuan Hotel Malaysia mengumumkan diskaun sehingga 70 peratus bagi hotel tiga bintang dan ke atas di Langkawi kepada pelancong domestik bagi menggalakkan industri pelacongan susulan kebimbangan terhadap penularan virus COVID-19.

Ikuti berita terkini berhubung COVID-19 dalam LAPOR LANGSUNG.



2. Tiada sukarelawan pelajar terlibat pemeriksaan, saringan kesihatan - UM

Universiti Malaya (UM) menegaskan, mereka tidak pernah mengarahkan sukarelawan pelajarnya, melaksanakan sebarang bentuk pemeriksaan kesihatan ke atas pelajar yang baru pulang atau berasal dari China, yang kembali meneruskan pengajian di semester baharu ekoran penularan virus COVID-19.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, UM menjelaskan kesemua proses pemeriksaan kesihatan yang dilaksanakan menerusi Prosedur Pengawasan Terpusat yang dijalankan di Kolej Kediaman ke-10 (KK10) itu, dilakukan sepenuhnya oleh pasukan perubatan UM di bawah Klinik Kesihatan Pelajar, yang terdiri daripada pegawai perubatan dan ahli paramedik.



3. Taiwan rekod kematian pertama

Taiwan mengesahkan kematian pertama akibat wabak novel koronavirus (COVID-19), lapor Reuters pada Ahad.

Menteri Kesihatan, Chen Shih-chung memaklumkan mangsa yang merupakan pemandu teksi berusia 61 tahun itu tiada rekod perjalanan ke luar negara baru-baru ini.

Selain Taiwan, empat lagi negara mencatatkan kematian akibat COVID-19 iaitu di Jepun, Hong Kong, Filipina, dan Perancis.



4. Pemandu lawan arus sah mabuk - Polis

Pemandu kereta jenis Ford Fiesta yang memandu secara melawan arus di Kilometer 17.5 Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) berdekatan susur keluar Tol Pajam menghala ke Seremban sehingga mengakibatkan seorang maut pagi tadi disahkan memandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, sampel darah lelaki berusia 30 tahun itu telah pun diambil dan didapati positif alkohol.

Dalam pada itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye memuji keputusan kerajaan mengkaji semula Akta Pengangkutan Jalan untuk hukuman lebih berat susulan peningkatan insiden memandu ketika mabuk namun menegaskan bahawa langkah itu sahaja tidak akan berkesan tanpa penguatkuasaan yang ketat.

Beliau berkata penguatkuasaan yang berintegriti juga harus dipertingkat untuk menghantar isyarat bahawa pihak berkuasa bersama-sama komuniti dalam usaha menangani masalah ini.




5. Keputusan bola sepak

Liga Perdana Inggeris
Aston Villa 2 - 3 Tottenham Hotspur
Arsenal 4 - 0 Newcastle United

LaLiga
Sevilla 2 - 2 Espanyol
Leganés 0 - 0 Real Betis
Athletic Bilbao 0 - 1 Osasuna
Real Madrid 2 - 2 Celta Vigo

Bundesliga
FC Köln 1 - 4 Bayern Munich
Mainz 05 0 - 0 FC Schalke 04