5 topik untuk sembang hari ini

Sebelum memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.

Sebelum memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu. | Astro Awani
SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.


1. AS isytihar darurat kesihatan

Amerika Syarikat isytihar darurat kesihatan, sekali gus mengenakan sekatan terhadap pelancong asing yang pernah berkunjung ke China sepanjang 14 hari lalu.

Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan Alex Azar berkata sekatan sementara itu bagi mengelak risiko jangkitan 2019 novel koronavirus.

Dalam perkembangan sama, AS mengesahkan kes ketujuh jangkitan wabak koronavirus di negara itu.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS dalam kenyataannya berkata lelaki dewasa dari Santa Clara County, California itu disahkan positif jangkitan tersebut menjadikannya kes ketiga di California.

Ikuti Lapor Langsung untuk mengetahui berita terkini dari semasa ke semasa berhubung koronavirus.



2. Britain keluar EU

Selepas 47 tahun menganggotai Kesatuan Eropah (EU), Britain secara rasmi keluar dari blok berpengaruh dunia itu hari ini.

Britain tidak lagi dianggap sebagai negara anggota EU, meskipun ia akan terus mengguna pakai undang-undang EU sehingga tempoh peralihan tamat pada akhir 2020.

Perdana Menteri Boris Johnson dijangka membuat pengumuman berhubung perkara ini hari ini.

Ikuti perbincangan berhubung keputusan ini di saluran 501 Astro AWANI.



3. PPSMI dikembalikan

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pemangku Menteri Pendidikan itu berkata Sains dan Matematik adalah berbeza dengan mata pelajaran lain seperti Sejarah dan Geografi, kerana ia bukan bidang ilmu yang diolah dari negara ini.



4. Diskaun tol 18 peratus

Bermula hari ini, jutaan pengguna di semua lebuh raya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) akan menikmati pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus bagi penggunaan kenderaan persendirian.

Langkah mengurangkan kadar tol oleh kerajaan Pakatan Harapan itu akan menyaksikan kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan berkurang daripada 13.6 sen/km kepada 11.15 sen/km, lebih rendah berbanding tahun 1999 iaitu 11.24 sen/km.



4. Pengertian Hari Wilayah

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan diraikan pada 1 Feb setiap tahun, namun tahukah anda mengapa Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya digelar Wilayah Persekutuan?

Sejumlah 29 program diatur sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2020 sebagai penggerak utama bagi agenda memperkasa perpaduan dalam pelbagai lapisan masyarakat majmuk khususnya di Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan kadar khas kompaun trafik serendah RM15 bermula 1 Feb hingga 3 Mac sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan bagi motosikal, kereta dan kenderan berat seperti lori dan bas.