38 kes tren langgar lembu dalam tempoh lima bulan

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Wilayah Timur mencatatkan 38 kes tren telah melanggar haiwan ternakan penduduk seperti lembu dan kambing sepanjang laluannya antara Tumpat ke Kuala Lipis, Pahang.

Mengenai kes baling batu terhadap tren yang sedang bergerak, pihak KTMB juga masih mencatatkan beberapa kes walaupun jumlahnya kini sudah jauh berkurangan. - Gambar hiasan | Astro Awani
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Wilayah Timur mencatatkan 38 kes tren telah melanggar haiwan ternakan penduduk seperti lembu dan kambing sepanjang laluannya antara Tumpat ke Kuala Lipis, Pahang, dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Pengurus Wilayah Timurnya, Redzuan Abdullah berkata walaupun peringatan telah dikeluarkan kepada penduduk yang tinggal berdekatan laluan tren agar menambat ternakan mereka namun masih ada kalangan penduduk yang berdegil dan menganggap mudah arahan itu.

"Pihak KTMB telah bertemu penduduk termasuk ketua-ketua kampung bagi mengingatkan mereka agar tidak melepaskan haiwan ternakan mereka itu kerana ia boleh membahayakan penumpang dan tren itu sendiri.

"Kami juga telah mengadakan ceramah dan kempen kesedaran termasuk di sekolah namun masih ada kes seperti ini yang kami catatkan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata bila berlaku kejadian seumpama itu dan siasatan dilakukan tidak ada mana-mana penduduk yang mengaku ia membabitkan haiwan ternakan mereka kerana khuatir akan diambil tindakan undang-undang.

Mengenai kes baling batu terhadap tren yang sedang bergerak, pihak KTMB juga masih mencatatkan beberapa kes walaupun jumlahnya kini sudah jauh berkurangan.

"Sepanjang lima bulan ini hanya ada dua atau tiga kes tren dibaling batu dan kami mengharapkan kesedaran agar tidak lagi berlaku kes seumpama itu.

"Kami percaya ia dilakukan oleh kanak-kanak dan lazimnya kes baling batu ini akan berlaku ketika cuti persekolahan," katanya.

Redzuan berkata cermin tren kini adalah daripada jenis dua lapisan yang sukar untuk batu itu menembusi sehingga terkena kepada penumpang.

Beliau menasihati ibu bapa agar memantau tingkah laku anak-anak mereka kerana walaupun tiada sebarang tangkapan dilakukan, tindakan seperti itu tidak boleh dibiarkan.

-- BERNAMA