30,31 Julai cuti umum di Pahang

Cuti itu sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai yang turut akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada hari yang sama.

Kerajaan negeri Pahang mengumumkan 30 Julai sebagai hari kelepasan am sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah. | Astro Awani
Kerajaan negeri Pahang pada Selasa mengumumkan 30 dan 31 Julai ini sebagai hari kelepasan am di seluruh negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata cuti itu adalah sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai yang turut akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada hari yang sama.

"Memandangkan dua peristiwa yang berbeza jatuh pada hari yang sama, kerajaan negeri membuat keputusan untuk memberikan hari kelepasan am pada kedua-dua hari berkenaan sebagai menandakan mustahaknya peristiwa itu," katanya dalam kenyataan media di sini, pada Selasa.

Wan Rosdy berkata perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 12 Jun lalu.

Beliau berharap rakyat Pahang dapat menghargai dan menggunakan cuti umum itu dengan sewajarnya.

-- BERNAMA