251 individu ditahan ingkar arahan PKPP

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, 111 individu telah direman manakala 140 individu lagi telah dikenakan kompaun.

Task Force Operasi Pematuhan turut memeriksa sebanyak 4,081 pasar raya, 5,614 restoran serta 1,406 penjaja, 1,159 kilang, dan 2,874 pasar awam/tani. - Gambar fail | Astro Awani
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 251 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 111 individu telah direman manakala 140 individu lagi telah dikenakan kompaun.

Katanya, antara aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam (126), aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (123) dan aktiviti yang melanggar SOP (2).

"Task Force Operasi Pematuhan turut memeriksa sebanyak 4,081 pasar raya, 5,614 restoran serta 1,406 penjaja, 1,159 kilang, dan 2,874 pasar awam/tani.

"Turut diperiksa semalam, 3,972 tempat ibadah serta 1,432 tempat riadah," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PDRM turut berjaya menahan empat warganegara asing menerusi Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen.

"Menerusi operasi itu, sebanyak 67 sekatan itu dan memeriksa 38,421 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat dalam penyeludupan masuk PATI," tegasnya.