20,000 permohonan SRF bernilai RM10 bilion diluluskan

Sejumlah lebih 20,000 permohonan Kemudahan Bantuan Khas diluluskan oleh institusi kewangan terlibat dengan nilai RM10 bilion.

Permintaan untuk SRF oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana amat memberangsangkan sehingga peruntukan awal bernilai RM5 bilion tidak mencukupi, kata Nor Shamsiah Mohd Yunos. - Gambar fail | Astro Awani
Sejumlah lebih 20,000 permohonan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) diluluskan oleh institusi kewangan terlibat dengan nilai RM10 bilion.

Gebenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunos berkata, permintaan untuk SRF oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) amat memberangsangkan sehingga peruntukan awal bernilai RM5 bilion tidak mencukupi.

“Susulan peningkatan tinggi, BNM telah meningkatkan saiz SRF sebanyak RM5 bilion lagi bagi memenuhi permintaan yang telah diluluskan institusi kewangan terlibat,” kata Shamsiah dalam sidang media khas dalam talian pada Rabu.

Menurut Shamsiah, SRF dijangka mampu menyelamatkan sejumlah lebih 200,000 pekerjaan.

Bank Negara, juga kata beliau, memberi jaminan akan memastikan kelancaran pelaksanaan SRF supaya manfaat diterima segera oleh PKS.

Kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN) sebelum ini mengumumkan beberapa siri bantuan kewangan termasuk SRF yang tertumpu kepada PKS.

Shamsiah berkata, melalui pembukaan sektor ekonomi, PKS kini boleh merujuk kembali semua jenis bantuan yang disediakan pihak kerajaan dan BNM.

“Semua dasar yang kita lakukan adalah untuk mengurangkan impak ekonomi COVID-19 termasuk pakej rangsangan bersaiz besar dan langkah BNM mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR),” kata beliau lagi.

BACA: Pertumbuhan ekonomi suku pertama susut mendadak akibat COVID-19