144 rakyat Malaysia terkandas di Selatan Thailand dibenar pulang

Seramai 144 warga Malaysia yang terkandas di selatan Thailand dibawa pulang ke tanah air pada Khamis.

Seramai 144 warga Malaysia yang terkandas di selatan Thailand dibawa pulang ke tanah air hari ini, kata Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid. - Gambar fail | Astro Awani
Seramai 144 warga Malaysia yang terkandas di selatan Thailand dibawa pulang ke tanah air hari ini, kata Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid.

Beliau berkata dengan kerjasama Gabenor di Wilayah Songkhla dan Narathiwat, kesemua rakyat Malaysia telah diberi kebenaran untuk keluar dari Thailand.

Beliau berkata antara mereka yang terkandas termasuk pelajar di sekolah pondok, pelancong dan juga mereka yang sedang melawat ahli keluarga di selatan Thailand.

"Seramai 144 rakyat Malaysia telah keluar mengikut masa yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Bagi kumpulan yang melalui Sungai Golok-Rantau Panjang, pihak Governor Narathiwat telah menetapkan masa dari 7 pagi sehingga 5 petang (waktu tempatan) hari ini.

"Bagi kumpulan yang melalui Sadao-Bukit Kayu Hitam, pihak Governor Songkhla telah menetapkan 3 hingga 5 petang hari ini bagi rakyat Malaysia keluar sempadan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Muhammad Ridzuan turut melahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan yang membantu membawa keluar rakyat Malaysia.

Bermula 23 Mac, kerajaan Thailand telah menutup semua sembilan pintu sempadan dengan Malaysia sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Semua sembilan pintu sempadan melalui darat atau air Thailand-Malaysia telah ditutup, dan penutupan sempadan ini turut dilaksanakan di semua pintu sempadan Thailand, dengan negara jiran lain seperti Laos, Kemboja dan Myanmar.

Sepanjang pelaksanaan penutupan sementara ini, semua warga Thailand dan warga asing tidak dibenarkan untuk keluar atau masuk ke Thailand, melalui semua pintu sempadan darat atau air.

Dalam pada itu, bagi pergerakan barang-barang hanya satu pintu sempadan darat atau air di setiap wilayah bersempadan dengan Malaysia dibuka.

-- BERNAMA