Terima anugerah Asian Most Promising Actor, Eizlan Yusof bakal melebarkan sayap ke Korea?

Pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof, 48, tidak menolak jika diberi peluang untuk melebarkan sayapnya dalam bidang seni ke Korea Selatan.

Terima anugerah Asian Most Promising Actor, Eizlan Yusof bakal melebarkan sayap ke Korea? | Astro Awani
PELAKON Datuk Seri Eizlan Yusof, 48,  tidak menolak jika diberi peluang untuk melebarkan sayapnya dalam bidang seni ke Korea Selatan.

Selepas menerima anugerah Asian Most Promising Actor Award di Festival Filem Art Chunsa ke-24 (24th Chunsa Film Art Awards) di Seoul, Korea pada Jumaat lalu, Eizlan memberitahu dia telah menimba pelbagai ilmu perfileman.

Anugerah dimenangi Eizlan itu adalah kategori baru yang diwujudkan dalam festival yang diasaskan Persatuan Pengarah-Pengarah Filem Korea sejak 1990.



Sementara itu, bagi kategori Asian Most Promising Actress diberikan kepada pelakon dari China, Li Yixiao manakala Asian Most Promising Director diberikan kepada Bo Lin juga dari China.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai anugerah tersebut, Eizlan telah berkongsi kepada Astro Gempak mengenai pengalamannya ketika menghadiri acara tersebut di Korea Selatan.

1. Bagaimana pada mulanya diberitahu mengenai anugerah tersebut?

Saya mula mendapat tahu mengenai anugerah ini dari Jawatankuasa Festival Filem tersebut. Mereka yang memberitahu tentang pencalonan nama saya bagi anugerah tersebut.

2. Apa perasaannya apabila menerima anugerah tersebut?

Pada mulanya saya tidak mengharap apa-apa pun kerana ramai yang tercalon. Malah ketika saya mendapat jemputan untuk menghadiri Festival tersebut, saya tidak meletakan apa-apa harapan tetapi lebih untuk membuat networking dan juga menimba pengalaman berkenaan industri perfileman kerana yang hadir itu ramai yang telah berjaya di peringkat yang lebih tinggi.


Antara yang hadir adalah Pengarah Korea, Bong Joon-Ho yang telah mengarah filem Parasites iaitu yang telah memenangi Palme d'Or di Cannes Film Festival 2019. Beliau telah memenangi 4 awards di festival ini dan sempat berbual dengan beliau semasa kami sama-sama berada di event tersebut.

3. Boleh cerita sedikit mengenai anugerah tersebut?

Ia merupakan pengiktirafan anak seni di dalam pelbagai bidang di peringkat Asia yang berpotensi untuk dijadikan sebagai role model dan memberikan peluang dan ruang untuk ke peringkat yang lebih tinggi

4.Dengan pengiktirafan ini mungkin ada perancangan kerjasama dengan syarikat perfileman Korea selepas ini?



Semasa berada di sana, saya telah berjumpa dan beramah mesra dengan ramai penerbit filem dan drama yang hebat. Ketika itu tidak terfikir untuk berlakon di dalam mana-mana projek mereka tetapi siapa tahu apa yang akan berlaku di masa akan datang.

5. Boleh cerita sedikit perkembangan terkini?

Saya kini dalam proses penggambaran drama bersiri Puteri Yang Ditukar yang sedang bersiaran di Astro Prima. Pada September ini pula saya akan mengarah dua telefilem. Selain itu saya kini dalam proses suntingan akhir filem arahan yang pertama Town Mall terbitan Enuja Production SB.