"Tak tahu nak cakap macam mana tetapi sangat bersyukur" - Eyra Hazali sahkan hamil

Tahniah!

PELAKON drama bersiri Puteri Yang Ditukar, Eyra Hazali mengumumkan dirinya kini berbadan dua.

Eyra dalam perasaan terharu memberitahu dia bersyukur atas rezeki yang dikurniakan dan atas dasar itu juga dia telah menolak tawaran berlakon.

"Alhamdulillah syukur kepada Allah atas rezeki ini. Eyra minta maaf terpaksa tolak tawaran berlakon, event, meeting due to my health.

"Saya mengalami alahan yang teruk jadi terpaksa tolak untuk jaga kesihatan memandangkan ini kandungan pertama.

"Sebelum ini saya ada menidakkan saya mengandung, itu kerana terlalu awal untuk dedahkan dan nak pastikan kandungan kuat.

"Alhamdulillah, rezeki tak putus-putus tapi saya kena bagitahu perkara sebenar supaya setiap produksi dan client faham keadaan saya dan sebab saya menolak.

"Saya harap semua dapat faham dan doakan saya dan Haziq. Terima kasih," kata Eyra.



Sebelum ini, Gempak melaporkan Eyra telah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan namun pelakon itu memberitahu situasi itu disebabkan terlalu letih kerana berpindah rumah.

Eyra dan Haziq yang merupakan pemain bola sepak kebangsaan itu berkahwin pada 1 November 2019 selepas dua tahun berkenalan.