'Saya tidak akan berada dalam bayangan abang saya' - Imran Aqil, finalis Hero Remaja 2020

Mempunyai mirip muka yang sama seperti abangnya, Imran Aqil berkata dia percaya bahawa dia tidak akan berada dalam bayangan abangnya.

Apa yang menariknya untuk edisi kali ini, tumpuan terarah kepada seorang finalis yang merupakan adik kepada Nabil Aqil, peserta Hero Remaja 2019. - Foto Astro AWANI/Najmi Syahiran | Astro Awani
Program realiti TV Hero Remaja 2020 bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Edisi lalu telah menampilkan beberapa bintang baharu yang kini mula menempah nama dalam industri hiburan.

Antaranya ialah Alif Muhaimin, Ikmal Amry, Harris Anuar, Safwan Nazri dan Nabil Aqil.

Namun, apa yang menariknya untuk edisi kali ini, tumpuan terarah kepada seorang finalis, Imran Aqil yang merupakan adik kepada Nabil Aqil, peserta Hero Remaja 2017.

BACA: Hero Remaja kembali mencari bakat-bakat baharu

.

Mempunyai mirip muka yang sama seperti abangnya, Imran berkata dia percaya bahawa dia tidak akan berada dalam bayangan abangnya.

Sebaliknya, dia bukan sahaja memiliki minat yang berbeza dengan abangnya, malah personaliti mereka juga tidak sama.

“Siapa yang tahu saya secara peribadi, saya dan abang saya sangat berbeza. Jadi, saya percaya tak ramai yang akan cakap saya akan duduk dalam bayangan dia.

“Tapi boleh jadi saya lebih menyerlah atau merundum daripada dia,” katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas sidang media Hero Remaja di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Selasa.

Tambahnya, fokus utamanya dalam program ini bukan sahaja untuk menempa nama dalam industri hiburan seperti pengacaraan atau lakonan malah, untuk jangka masa panjang, dia juga bercadang untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan.

12 finalis yang bakal bertanding dalam pencarian Hero Remaja 2020.

Terdahulu, dalam sidang media pada hari yang sama, turut diumumkan ialah pengacara dan juri tetap untuk program itu.

Ain Edruce bakal menjadi pengacara manakala juri tetap pula adalah gandingan Scha Al-Yahya dan Datuk Hans Isaac.

Program Hero Remaja 2020 bakal berlangsung pada 27 Februari yang akan ditayangkan secara eksklusif di saluran Astro Ria 104 dan Astro Ria HD 123.