Perjalanan hidup Nelson Mandela beri impak kepada selebriti

Dikenali sebagai ikon keamanan, Nelson Mandela turut membawa impak kepada industri hiburan dan golongan ternama yang lain.

-gambar arkib | Astro Awani
Dikenali sebagai ikon keamanan, bekas presiden Afrika Selatan yang meninggal dunia hari ini, Nelson Mandela turut membawa impak kepada industri hiburan.

Beliau menjadi inspirasi kepada penggubah lagu, pelakon dan pengarah filem mengenai tema kebebasan.

Pada 1996, aktor British, Sydney Poitier, menganggap pemikiran dan ucapan Mandela sebagai khazanah dunia.

Selain Poitier, Charlize Theron dan Spice Girls antara selebriti yang berpeluang bertemu Mandela.

Apatah lagi, Theron merupakan warga Afrika Selatan.

Lima tahun lalu, ribuan penonton hadir meraikan ulang tahunnya yang ke-90, menerusi konsert khas "46664" di Afrika Selatan.

Di London pula, Putera William dan isterinya Kate Middleton menghadiri tayangan khas diraja filem "Mandela: long walk to freedom", hanya beberapa jam sebelum kematian beliau.


Tayangan itu dihadiri anak mandela, Zindzi, yang menyatakan bapanya berada dalam keadaan sihat sebelum dia berlepas ke London.

William dan Kate menjadi tetamu yang terakhir hadir ke acara itu.

Mandela, 95, mengetuai peralihan pentadbiran Afrika Selatan daripada minoriti kulit putih pada awal 90-an selepas 27 tahun dipenjara.

Beliau sebelum ini diberi rawatan intensif di rumah selepas tiga bulan berada di hospital akibat jangkitan paru-paru.