Penerbit filem Tamil akan saman pengeluar 'Parasite', dakwa plagiat karya

PL Thenappan juga akan menuntut pampasan daripada pengeluar Parasite kerana mengambil idea daripada filemnya.

Penerbit filem Tamil akan saman pengeluar 'Parasite', dakwa plagiat karya | Astro Awani
PENERBIT filem Tamil, PL Thenappan mengumumkan akan menyaman penerbit filem Parasite atas sebab plagiarisme.

Filem Korea Selatan itu yang menang besar pada majlis Academy Awards (Oscar) baru-baru ini, dikatakan merupakan versi rip-off filem Tamil berjudul Minsara Kanna, menurut portal Times of India.

"Saya akan memfailkan kes dengan bantuan seorang peguam antarabangsa. Mereka telah mengambil plot filem saya," kata Thenappan.

Dia juga menambah akan menuntut pampasan daripada pengeluar Parasite kerana mengambil idea daripada filemnya.

Filem Parasite arahan Bong Joon-ho mencipta sejarah dengan menjadi filem berbahasa asing pertama memenangi anugerah Filem Terbaik di Oscars, selain turut membawa pulang anugerah Pengarah Terbaik, Skrip Asal Terbaik dan Filem Luar Terbaik.

Filem Minsara Kanna, terbitan tahun 1999 dan merupakan lakonan bintang Tamil popular, Vijay. Susulan kemenangan Parasite di Oscar, peminat Vijay membanjiri media sosial, mendakwa adanya persamaan filem itu dengan filem lakonan bintang kesayangan mereka.

Biarpun ramai yang tidak mengambil serius dakwaan kumpulan peminat itu, ia tidak begitu bagi Thenappan.

Pengarah Minsara Kanna, S. Ravikumar pula menyifatkan satu kebanggaan baginya apabila kontroversi itu membawa perhatian terhadap filemnya.

Dia bagaimanapun tidak berniat mengambil apa-apa tindakan.

"Saya gembira kerana filem itu menerima anugerah Oscar, walaupun ia (Minsara Kanna) hanya sebagai inspirasi.

"Tetapi untuk menyaman, itu terserah kepada penerbit," kata Ravikumar, seperti yang dipetik portal The News Minute.

Minsara Kanna, mengisahkan tentang Kaasi (lakonan Vijay) memasuki rumah seorang wanita kaya sebagai pemandu dan membawa ahli keluarganya, seorang demi seorang untuk bekerja di rumah tersebut dengan motif tersembunyi.