'It's happening!' - Pelakon sitkom 'Friends' kembali bersatu selepas 15 tahun

Selepas 15 tahun, kesemua enam bintang kembali ke studio asal di Burbank untuk satu projek terbaharu.

'It's happening!' - Pelakon sitkom 'Friends' kembali bersatu selepas 15 tahun | Astro Awani
SETIAP tahun desas-desus mengenai siri televisyen "Friends" bertiup kencang sama ada ia akan kembali bersiaran untuk edisi terbaharu atau tidak.

Akhirnya, 15 tahun selepas kali terakhir disiarkan di televisyen, kesemua bintang utama siri tersebut diumum akan kembali bersatu untuk satu projek terbaharu.

Menurut kenyataan syarikat penerbit Warner Media Group, ia merupakan satu projek eksklusif bersama platform penstriman HBO Max.

Projek yang masih belum diberikan nama itu juga dilaporkan tanpa skrip.

“Mungkin projek ini boleh dipanggil ‘The One Where They All Got Back Together’ - kami akan bersatu dengan David, Jennifer, Courteney, Matt, Lisa, dan Matthew untuk projek istimewa dengan HBO Max yang akan disiarkan bersama seluruh siri Friends,” kata ketua pegawai kandungan HBO Max, Kevin Reilly.

Keenam-enam bintang tersebut akan kembali ke set asal mereka di Studio Warner Bros di Burbank, California untuk meraikan siri itu yang bersiaran selama 10 musim hingga 2004.

Bintang utama Jennifer Aniston yang terkenal sebagai wataknya Rachel Greene berkongsi mengenai berita tersebut menerusi Instagram.


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

It’s happening... ⁣ ⁣ ⁣ @hbomax⁣ @courteneycoxofficial⁣ @lisakudrow⁣ @mleblanc⁣ @mattyperry4⁣ @_schwim_

A post shared by Jennifer Aniston (@jenniferaniston) on



Jennifer memuat naik gambar bersama bintang lain - Courteney Cox, Lisa Kudrow, David Schwimmer, Matt LeBlanc dan Matthew Perry berserta kapsyen: "It’s happening…"

Menurut sumber kepada portal Variety.com, mereka akan mendapat sebanyak AS$2.5 juta (kira-kira RM10.5 juta) setiap seorang untuk penyertaan dalam projek itu.

Setelah "Friends" mengakhiri siaran pada platform penstriman Netflix pada hujung 2019, siri tersebut memeterai perjanjian baharu bersama HBO Max, platform penstriman terbaharu yang akan dilancarkan pada Mei 2020.

Selain pengarah Ben Winston dan produser eksekutif Kevin Bright, Marta Kauffman dan David Crane, kesemua enam bintang "Friends" turut bergandingan menjadi produser eksekutif dalam projek tersebut.