Industri seni Malaysia, Indonesia terkesan pemergian Ashraf Sinclair

Berita pemergian Ashraf Sinclair sememangnya mengejutkan dan mengundang ribuan reaksi penggiat seni hiburan dan para peminatnya.

Industri seni Malaysia, Indonesia terkesan pemergian Ashraf Sinclair | Astro Awani
BERITA pemergian Ashraf Sinclair sememangnya mengejutkan dan mengundang ribuan reaksi penggiat seni hiburan dan para peminatnya.

Mana tidaknya, sepanjang kariernya, Allahyarham bukan sahaja terlibat dalam industri hiburan tanah air, malah turut berkarya dalam industri hiburan Indonesia.

Di Malaysia, Ashraf memulakan kariernya dalam industri menerusi bidang pengacaraan.

Beliau pernah bergandingan bersama Sazzy Falak dalam mengendalikan program hiburan siaran Astro, Beat TV.

Selain mengacara, beliau turut terlibat dalam industri perfileman tanah air.

Kehadirannya dapat dilihat menerusi filem arahan Bernard Chauly iaitu "Gol & Gincu" (gandingan bersama Nur Fazura, Pierre Andre dan Sazzy Falak), filem "SH3" dan "D[o]sa."

Pada 2008, beliau mengahwini penyanyi Indonesia Bunga Citra Lestari dan sejak itu, kehadirannya turut mewarnai industri seni Indonesia.

Beliau telah diberi kepercayaan dalam menjayakan banyak drama atau sinetron Indonesia di bawah rangkaian TV tempatan RCTV, seperti "Cinta dan Anugerah", "Sejuta Cinta Marshanda", "Anugerah", "Pashmina Aisha" serta "Catatan Hati Seorang Istri" (Musim 1 dan 2). 

Dalam industri perfileman Indonesia, Ashraf pernah terlibat dalam filem "Saus Kacang" bersama isterinya, Bunga Citra Lestari dan "The Real Pocong" bersama Nabila Syakieb.

Ashraf Sinclair meninggal dunia pada awal pagi Selasa akibat serangan jantung di Jakarta, Indonesia.

BACA: Ashraf Sinclair meninggal dunia