Imbau perjalanan karier seni Dayang Nurfaizah dalam 'Showcase Virtual'

Pengalaman yang dilalui oleh penyanyi ini bukan sedikit malah sepanjang dua dekad mengabadikan diri dalam industri muzik tanah air membuatkan Dayang Nurfaizah menjadi antara permata berharga.

Dayang Nurafizah bakal menemui peminat dalam persembahan istimewa secara maya di Youtube Indigital Music pada 25 Mei ini. - Gambar Indigital Music | Astro Awani
Pengalaman yang dilalui oleh penyanyi ini bukan sedikit malah sepanjang dua dekad mengabadikan diri dalam industri muzik tanah air membuatkan Dayang Nurfaizah menjadi antara permata berharga buat industri seni.

Sentiasa hadir dengan pelbagai produk baharu saban tahun, Dayang bakal menemui peminat secara maya dalam persembahan nyanyian ‘Showcase Virtual Dayang Nurfaizah’ sempena bulan Syawal ini.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu 'Tak Pernah Menyerah' itu, dia memahami kekangan pandemik COVID-19 yang dialami oleh orang ramai berikutan perintah untuk ‘duduk di rumah’.

“Ramai yang memilih untuk duduk di rumah dan bertepatan dengan itu juga membuatkan saya mengadakan showcase ini agar mereka boleh saksikan dari rumah sahaja,” katanya yang tahun lalu pernah menggegarkan pentas konsert The Theatre MediaCorp di Singapura.

.

Menariknya, konsep dan idea yang diketengahkan oleh syarikat produksi Indigital Music itu disambut baik olehnya yang tahu kebanyakan peminat setianya sentiasa menantikan aktiviti terbaharunya.

Bakal disiarkan secara maya menerusi saluran YouTube Indigital Music, peminat berpeluang mengimbau kembali lagu-lagu popular di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) yang juga terbitan Indigital Music.

Hanya menggunakan telefon untuk proses rakaman, ‘showcase virtual’ itu akan ditayangkan pada hari raya kedua (25 Mei 2020) bermula pukul 4 petang di saluran YouTube Indigital Music.