Filem 'Crossroad: One Two Jaga' menang pengarah terbaik, pelakon pembantu terbaik AIFFA

Filem 'Crossroad: One Two Jaga'merangkul anugerah Pengarah Terbaik dan Pelakon Pembantu Terbaik di majlis Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) di sini malam tadi.

Pelakon 'One Two Jaga' Amerul Affendi merangkul Pelakon Pembantu Terbaik di majlis Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) di Kuching malam tadi. - Foto Bernama | Astro Awani
Filem yang baru sahaja meraih kemenangan besar dalam Festival Filem Malaysia ke-30 hujung bulan lepas, 'Crossroad: One Two Jaga', sekali lagi mencatatkan kejayaan cemerlang apabila merangkul anugerah Pengarah Terbaik dan Pelakon Pembantu Terbaik di majlis Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) di sini malam tadi.

Shahili Abdan, yang juga dikenali sebagai Nam Ron dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik, manakala Amerul Affendi sebagai Pelakon Pembantu Terbaik dalam pertandingan dwi-tahunan bagi pemain industri filem dari 10 negara Asean itu.

Anugerah Filem Terbaik dimenangi oleh filem dari Filipina yang bertajuk Signal Rock, arahan Chito S. Rono, lakonan Christian Bables and Keanna Reeves.

Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dimenangi oleh mendiang Kristoffer King dari Filipina menerusi filem bertajuk Kristo, manakala Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dimenangi oleh pelakon Indonesia Raihaanun menerusi filem '27 Steps of May'.

Tahun ini lebih 100 filem dari 10 negara Asean bertanding dalam sembilan kategori AIFFA 2019 yang berlangsung di Hotel Pullman di sini.

-- BERNAMA