'Ashraf Sinclair sihat, tidak hidap penyakit' - Pengurus Bunga Citra Lestari

Memetik Doddy, pengurus Bunga Citra Lestari, Allahyarham tidak mengalami sebarang penyakit sebelum meninggal dunia akibat serangan jantung.

'Ashraf Sinclair sihat, tidak hidap penyakit' - Pengurus Bunga Citra Lestari | Astro Awani
PENGGIAT industri seni dan hiburan dikejutkan dengan berita pemergian pelakon terkenal Ashraf Sinclair akibat serangan jantung di Jakarta, Indonesia pada pagi Selasa.

Desas-desus mengenai tahap kesihatan arwah mula diperkatakan apabila pemergiannya boleh dikatakan terlalu awal iaitu pada usia yang baru mencapai 40 tahun.

Namun, menurut pengurus kepada isteri Allahyarham, Bunga Citra Lestari, Ashraf tidak menghidap sebarang penyakit.

“Enggak ada (riwayat). Dia sehat banget. Di antara kami semua, dia paling sehat,” kata Doddy di rumah mayat di Pejaten Barat, Jakarta Selatan dalam laporan berita tempatan Kompas.

Doddy turut meminta agar ahli keluarga, sahabat dan kenalan Allahyarham tabah dalam menghadapi saat duka ini.

Sementara itu, sumber yang dihubungi Astro AWANI memaklumkan upacara pengebumian dijangka berlangsung di Sandiego Hills, Jakarta.

Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohammed Sinclair lahir di London, England pada 18 September 1979.

Beliau mengahwini penyanyi Bunga Citra Lestari pada 2008.

Allahyarham juga merupakan abang kepada penyampai radio Mix FM dan pelakon Aishah Sinclair, 39.