Waris mengamuk kerana mahu kebumikan sendiri jenazah ahli keluarga mangsa COVID-19

Puluhan ahli keluarga yang berang telah mengamuk dengan pihak berkuasa kerana tidak membenarkan mereka menguruskan jenazah waris yang kematiannya berpunca daripada pandemik berkenaan.

Tentera Nasional Indonesia dan Polis Republik Indonesia, bagaimanapun, berjaya mengawal keamanan dan keselamatan di pintu masuk utama hospital. - Gambar Kompas | Astro Awani
HANYA kerana salah faham berhubung prosedur operasi standard (SOP) pengebumian jenazah mangsa wabak COVID-19, mencetuskan kekecohan dalam sebuah keluarga di Makkasar, Indonesia.

Puluhan ahli keluarga yang berang telah mengamuk dengan pihak berkuasa kerana tidak membenarkan mereka menguruskan jenazah waris yang kematiannya berpunca daripada pandemik berkenaan.

Mereka membuat kecoh dan mendesak pihak hospital menyerahkan jenazah ahli keluarga mereka yang meninggal dunia untuk memandikan dan mengebumikan jenazah.

Bagaimanapun, niat tersebut tidak dapat ditunaikan apabila pihak Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia (Polri) mengawal keamanan dan keselamatan di pintu masuk utama hospital.

Tetap tidak berpuas hati, waris mangsa saling menolak antara satu sama lain selain nekad menceroboh pintu masuk wad kecemasan hospital berkenaan.

Menurut laporan portal berita Kompas, jurucakap polis Makkasar, Yudhiawan Wibisono mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, terdapat sejumlah ahli keluarga mangsa korban COVID-19 yang juga berstatus pesakit dalam pemantauan (PUI) mengamuk semasa mahu menuntut jenazah.

Bagaimanapun, jelas beliau, kebijaksanaan pihak TNI dan Polri berjaya mengendalikan masalah itu yang akhirnya menyebabkan ahli keluarga itu menerima kenyataan bahawa urusan pengebumian jenazah mangsa COVID-19 perlu diurus oleh pihak hospital.

Kata Yudhiawan, kejadian berkenaan berlaku sekitar pukul 10 pagi Sabtu.

Mangsa korban COVID-19 itu, kata beliau, sudah dikebumikan di Tanah Pekuburan Umum untuk mangsa COVID-19 di Kelurahan Macanda, Kabupaten Gowa.