Saranan Duterte, cuci pelitup muka guna minyak tanah cetus kekhuatiran

Beliau menyatakan perkara itu sebelum ini dan mengulanginya lagi minggu lepas, dan menegaskan, beliau tidak bergurau.

Rodrigo Duterte bercakap kepada anggota Pasukan Petugas Antara Agensi Kawalan Penyakit Berjangkit di istana presiden Malacanang, Manila, Filipina, 30 Julai, 2020. (Foto AP) | Astro Awani
KENYATAAN Presiden Filipina Rodrigo Duterte yang menyarankan orang ramai membersihkan pelitup muka dengan minyak tanah atau kerosene menimbulkan kekhuatiran orang ramai.

Saranan itu dibuat beliau bagi mereka yang tidak mampu untuk mendapatkan bekalan alkohol.

Beliau menyatakan perkara itu sebelum ini dan mengulanginya lagi minggu lepas, dan menegaskan, beliau tidak bergurau.

"Mereka kata Duterte ini gila, bodoh. Jika saya gila, maka andalah (pengkritik) yang jadi presiden, bukan saya.

"Betul apa yang saya katakan. Sekiranya tidak ada alkohol, terutamanya bagi mereka yang miskin, pergi sahaja ke stesen minyak, dan ambillah satu titik. Ia boleh membasmi kuman.

"Alkohol, minyak tanah, gas yang digunakan itu, hanya setitik, boleh dijadikan pembasmi kuman. Jujur saya katakan, saya tidak bergurau.

"Saya bercakap yang benar. Anda fikir saya mungkin bergurau. Tetapi sebenarnya, tidak," katanya pada Khamis.

Bagaimanapun, kenyataan beliau itu diperbetulkan semula oleh pegawainya.

Filipina mencatatkan lonjakan dalam jangkitan COVID-19, dengan lebih 4,000 kes dilaporkan pada Jumaat.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara itu kini melebihi 85,000.

Setakat ini, hampir 2,000 orang dilaporkan terkorban akibat wabak itu.