Putera Harry luah rasa hati, pertahan Meghan dalam sengketa keluarga Diraja

Harry berkata keputusan tersebut sememangnya membawa kesedihan dalam dirinya dan ia dibuat bagi pihak Meghan dan anak kecil mereka Archie.

Harry berkata beliau dan isterinya ingin meneruskan khidmat kepada ibunya, Ratu Elizabeth II, Komanwel dan barisan anggota tentera tanpa sebarang pembiayaan awam. (Foto AP/Fail) | Astro Awani
UCAPAN Putera Harry yang penuh emosi dalam satu majlis amal cukup membuktikan kesedihan yang terbuku dalam dirinya selepas beliau dan isterinya Meghan Markle membuat keputusan muktamad mengundur diri daripada peranan rasmi mewakili keluarga diraja British.

Beliau yang mengaku bertanggungjawab dalam perpecahan keluarga diraja itu berkata keputusan tersebut sememangnya membawa kesedihan dalam dirinya, namun beliau "tiada pilihan" demi Meghan dan anak kecil mereka Archie.

"United Kingdom (UK) ialah ‘rumah’ saya dan merupakan tempat paling saya sayangi. Perasaan itu akan kekal selamanya.

"Saya juga tahu, anda semua sangat mengenali saya selama bertahun-tahun ini untuk percaya bahawa wanita yang saya pilih sebagai isteri ini sangat saya sanjungi.

"Beliau juga mempunyai perasaan yang sama terhadap saya. Dialah wanita yang saya cintai,” kata Harry ketika berucap pada satu majlis makan malam pada Ahad.

Tambah Harry, kedua-dua pasangan itu telah melaksanakan tugas mereka terhadap negara dan berbangga dengan segala sumbangan yang telah dilakukan di UK.

"Atas sebab-sebab tertentu, ia satu kesedihan yang amat sangat apabila perkara ini terjadi.

"Keputusan yang saya buat ini demi isteri saya dan meneruskan kehidupan ini bukan sesuatu yang mudah.

"Kami mengadakan perbincangan selama berbulan-bulan selepas berdepan cabaran ini bertahun lamanya,” kata Harry lagi.


Harry dan isterinya pernah meluahkan hasrat meneruskan khidmat kepada ibunya Ratu Elizabeth II, Komanwel dan barisan tentera tanpa sebarang pembiayaan awam.

Bagaimanapun, katanya, ia dilihat sebagai satu perkara yang mustahil.

Pasangan itu membuat keputusan mengejutkan apabila memaklumkan mereka sekeluarga akan menetap di Amerika Utara dan menjana pendapatan serta mengeluarkan perbelanjaan sendiri termasuk membiayai kos keselamatan mereka.

Mereka juga tidak lagi mendapat gelaran diraja His Royal Highness dan Her Royal Highness (Yang Mulia) selepas kedua-duanya membuat keputusan menarik diri daripada tugas-tugas diraja.

Mereka berkata keputusan itu diharap dapat sedikit sebanyak mendorong mereka ke arah kehidupan yang lebih aman.