Populasi berkurangan, Taman Nasional Komodo akan ditutup setahun

Langkah itu diambil sebagai usaha meningkatkan jumlah populasi komodo dan juga rusa yang menjadi makanan utama reptilia besar tersebut.

Saiz tubuh komodo tidak sebesar dulu kerana populasi rusa yang menjadi makanan utamanya berkurangan. - Wikipedia - Dragon Komodo | Astro Awani
Mereka yang baru merancang untuk melihat secara dekat haiwan purba yang hanya ditemui di Indonesia, iaitu biawak komodo, mungkin terpaksa menangguhkan sementara hasrat itu.

Agensi berita Antara melaporkan, pemerintah Nusa Tenggara Timur (NTT) bercadang untuk menutup lokasi pelancongan Taman Nasional Komodo selama satu tahun.

Langkah itu diambil sebagai usaha meningkatkan jumlah populasi komodo dan juga rusa yang menjadi makanan utama reptilia besar tersebut.

"Pemerintah NTT akan melakukan kerja baik pulih di kawasan Taman Nasional Komodo agar menjadi lebih baik, seterusnya memastikan habitat komodo bertambah.

“Kami akan menutup Taman Nasional Komodo selama satu tahun," kata Gabenor NTT Viktor Bungtilu Laiskodat yang ditemui media di Kupang, tanpa menyatakan butiran khusus tentang tarikh penutupan bermula.

Tambah Viktor, habitat komodo di Manggarai Barat, sebelah barat Pulau Flores semakin berkurang, selain keadaan fizikal reptilia itu yang kecil kerana kekurangan makanan.

"Saiz tubuh komodo tidak sebesar dulu kerana populasi rusa yang menjadi makanan utamanya berkurangan berikutan kes pencurian rusa di kawasan itu," tegas Viktor.

Tambahnya, kebimbangan yang menyusul adalah sekiranya komodo tersebut menyerang sesama sendiri akibat kekurangan sumber makanan.

“Naluri haiwan akan terserlah apabila rantai makanan komodo berkurangan. Jika makanan utamanya melimpah, maka nalurinya akan berbeza.

"Sebab itulah pihak pemerintah mahu melakukan penataan kawasan komodo dengan menutup sementara kawasan itu dari kunjungan pelancong selama setahun," katanya.