Pereka kasut Itali Sergio Rossi meninggal dunia, dipercayai akibat COVID-19

Mendiang dilapor telah dimasukkan ke hospital beberapa hari lalu di Cesena, sebuah bandar di Emilia-Romagna yang merupakan antara wilayah yang paling teruk terjejas akibat pandemik koronavirus.

Pereka kasut terkemuka Itali Sergio Rossi meninggal dunia pada usia 84 tahun. | Astro Awani
PEREKA kasut terkemuka Itali Sergio Rossi meninggal dunia pada usia 84 tahun.

Mendiang dilapor telah dimasukkan ke hospital beberapa hari lalu di Cesena, sebuah bandar di Emilia-Romagna yang merupakan antara wilayah yang paling teruk terjejas akibat pandemik koronavirus.

Laporan media tempatan menyebut Rossi mungkin meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Riccardo Sciutto ketika mengumumkan perkara itu pada Jumaat berkata, “Mendiang seorang pakar. Saya amat bangga dapat bertemu dengannya. Kami beroleh banyak ilham daripadanya dahulu dan lebih-lebih lagi sekarang.”

Kasut rekaan Rossi banyak digunakan dalam koleksi pereka fesyen terkemuka, antaranya Azzedine Alaïa, Versace, dan Dolce & Gabbana.

Antara selebriti yang mengenakan kasut rekaan Rossi pula termasuk Lupita Nyong’o, Rihanna, Paris Hilton, Laura Dern, dan Ariana Grande.

Rossi belajar menghasilkan rekaan kasut daripada bapanya sebelum mula menjual rekaannya di Bologna pada 1966 dan kemudian melancarkan jenamanya sendiri dua tahun kemudian.