Penghantar barang dipecat ludah atas kotak barang

Amazon mengesahkan kepada portal The Independent bahawa individu itu telah dipecat dan tidak lagi bekerja menghantar pakej Amazon.

Seorang lelaki yang memakai baju seragam Amazon dilihat telah meludah ke tapak tangannya dan kemudian mengelapnya ke atas sebuah pakej barang. - Gambar fail | Astro Awani
SEORANG penghantar barang telah dipecat kerana bertindak meludah ke atas satu pakej bungkusan Amazon yang dihantarnya ke sebuah rumah pelanggan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Dalam rakaman yang tular minggu lalu, seorang lelaki yang memakai baju seragam Amazon dilihat telah meludah ke tapak tangannya dan kemudian mengelapnya ke atas sebuah pakej barang.

Amazon mengesahkan kepada portal The Independent bahawa individu itu telah dipecat dan tidak lagi bekerja menghantar pakej Amazon.

Video itu menjadi viral di media sosial dan pengguna marah kepada pemandu penghantaran di tengah-tengah ketakutan pandemik COVID-19.

Dilaporkan kejadian itu berlaku petang Khamis di sebuah kediaman di Los Angeles.

"Perlakuan ini jelas tidak mewakili pemandu dan penghantar Amazon, ini bukan etika penjagaan yang sepatutnya dilakukan ke atas pelanggan di seluruh dunia," kata seorang jurucakap Amazon.

Penduduk di Los Angeles dan di seluruh dunia telah digalakkan untuk memberikan perhatian khusus kepada kebersihan dan memerhati langkah menjauhkan sosial untuk mencegah penyebaran penyakit yang sangat berjangkit.