New Zealand isytihar darurat, laksana perintah kawalan pergerakan

Semua warga kecuali mereka yang bertugas dalam perkhidmatan kritikal, akan diminta tinggal di rumah.

New Zealand isytihar darurat, laksana perintah kawalan pergerakan | Astro Awani
New Zealand mengisytiharkan darurat susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negara itu.

Perdana menterinya Jacinda Ardern mengumumkan langkah itu bermula tengah malam Rabu dan berjalan selama empat minggu.

"Bermula tengah malam ini (Rabu), kita berkurung selama empat minggu untuk mengekang jangkitan virus ini, untuk memutuskan rantaiannya.

Semua perkhidmatan bukan kritikal, bar, restoran, kafe, gimnasium, pawagam, kolam renang, muzium, perustakaan, taman permainan dan lain-lain tempat berhimpun akan ditutup.

Walau bagaimanapun pasar raya, perkhidmatan perubatan, farmasi, stesen perkhidmatan dan perbankan akan terus dibuka.

Ardern memberi amaran bahawa langkah kawalan pergerakan itu akan dikuatkuasakan tanpa kompromi.



 


Menurutnya, semua warga kecuali mereka yang bertugas dalam perkhidmatan kritikal, akan diminta tinggal di rumah.

Orang ramai walau bagaimanapun dibenar keluar bersama rakan serumah namun perlu mengekalkan jarak sejauh 2 meter dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan dan membendung penularan koronavirus itu.

"Jika anda ada soalan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, guna prinsip mudah ini: 'Anggap yang anda dijangkiti COVID-19.

"Setiap langkah anda lakukan menjadi risiko kepada orang lain.

"Keadaan akan jadi lebih teruk sebelum ia kembali pulih. Jumlah kes akan meningkat dalam minggu-minggu mendatang. Kemudian kita akan tahu setakat mana usaha ini berjaya.

"Berbeza dengan negara lain yang tenat, kita mempunyai ruang untuk tinggal di rumah, memutuskan rantaian transmisi dan menyelamatkan nyawa," kata Ardern.

Kes jangkitan COVID-19 di New Zealand meningkat kepada 283, namun belum ada kematian direkodkan setakat ini.