Lebih 160 pelombong jed maut dalam insiden tanah runtuh di Myanmar

Lebih 130 mayat mangsa ditemukan manakala 20 yang lain dalam keadaaan cedera parah dan dikejarkan ke hospital berhampiran.

Mayat pelombong jed dibawa keluar dari lokasi tanah runtuh. -AP | Astro Awani
Sekurang-kurangnya 160 pelombong jed terkorban dalam insiden tanah runtuh di utara Myanmar pada Jumaat.

Kejadian yang berlaku berdekatan sempadan Myanmar-China di negeri Kachin itu dipercayai terjadi susulan hujan lebat yang melanda kawasan itu.

Menurut jabatan bomba, lebih 130 mayat mangsa ditemukan manakala 20 yang lain dalam keadaaan cedera parah dan dikejarkan ke hospital berhampiran.

Dikhuatiri ramai lagi yang masih tertimbus di bawah runtuhan dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan pihak berkuasa, termasuk di lembah yang ditenggelami lumpur.



Siasatan awal mendapati para pekerja tidak mengendahkan amaran pihak berkuasa supaya tidak melakukan kerja penggalian ketika hujan.

Kejadian tanah runtuh itu antara kemalangan terburuk yang melanda industri berbahaya di negara itu.

Perusahaan industri jed yang mendatangkan keuntungan buat negara itu merekodkan kematian setiap tahun susulan tiada tindakan kawal selia yang baik.