Kes denggi di Singapura cecah 22,403, paling buruk sejak 2013

Setakat 2 Ogos, Kementerian Kesihatan Singpura memaklumkan sebanyak 20 kematian dicatatkan akibat denggi.

Kluster terbesar dikesan di sekitar jalan Aljunied atau Geylang dan Jalan Arthur berdekatan Katong. - Foto REUTERS/Tim Wimborne | Astro Awani
Sebanyak 22,403 kes denggi dicatatkan di Singapura setakat Rabu, sekali gus menyaksikan kes tertinggi direkodkan dalam tempoh kurang setahun.

Angka tersebut turut melepasi statistik kes pada tahun 2013 iaitu sebanyak 22,170, yang merupakan wabak bawaan nyamuk terburuk di republik itu.

Setakat 2 Ogos, Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan sebanyak 20 kematian dicatatkan akibat denggi.

Mangsa paling muda yang maut akibat wabak tersebut berusia 25 tahun, sementara paling berusia adalah 92 tahun.

Kementerian tersebut turut memaklumkan kira-kira 0.2 peratus pesakit denggi pada tahun ini mengalami demam denggi berdarah.

Peratusan kes demam denggi berdarah dicatatkan antara 0.1 dan 0.8 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu.

"Walaupun kebanyakan pesakit denggi pulih dari jangkitan, (namun) pesakit lebih berusia dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan adalah berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi.

"Kami menggesa orang ramai yang mempunyai gejala denggi untuk mendapatkan rawatan," demikian menurut kementerian tersebut memetik CNA.

Dalam perkembangan sama, Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) memaklumkan sekurang-kurangnya terdapat 391 kluster aktif denggi di Singapura setakat Selasa, dengan lebih 600 ribu isi rumah berada di kawasan tersebut.

Kluster terbesar dikesan di sekitar jalan Aljunied atau Geylang dan Jalan Arthur berdekatan Katong. - Agensi