Kes COVID-19 di Filipina kini lepasi angka 50,000

Meskipun jumlah kes masih meningkat namun negara berkenaan cuba untuk membuka lagi beberapa sektor ekonominya.

Duterte menyatakan beliau tidak akan seberani Trump atau Bolsonaro dalam membuka secara penuh ekonomi negara berkenaan. - Gambar fail | Astro Awani
KES positif COVID-19 di Filipina meningkat melepasi angka 50,000 pada Rabu, kedua tertinggi di Asia Tenggara.

Meskipun jumlah kes masih meningkat, namun negara berkenaan dalam usaha untuk cuba membuka semula beberapa sektor ekonomi lagi.

Filipina telah berada di dalam keadaan kuarantin sejak pertengahan Mac dan pada 1 Jun lepas, presidennya Rodrigo Duterte membuka kembali beberapa sektor ekonomi secara berperingkat.

Ia selepas pertumbuhan negara berkenaan menguncup sedikit kepada 0.2 peratus pada suku pertama.
Penguncupan itu merupakan yang pertama dalam dua dekad.

Dalam masa yang sama, Filipina menjangka penguncupan yang lebih besar akan berlaku pada suku kedua.



Sementara itu, Duterte menyatakan dia tidak akan seberani Presiden Amerika Syarikat Donald Trump atau Presiden Brazil Jair Bolsonaro dalam membuka secara penuh ekonomi negara berkenaan.

Kerajaan Filipina dalam masa yang sama akan meningkatkan hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 39 ke 50 peratus untuk membiayai belanjawan dan merangsang ekonomi.

Pengumuman bajet terbesar sekitar 4.3 trillion peso untuk 2021 bakal dilakukan demi merangsang ekonomi dan mengekang penularan COVID-19.