Kematian remaja OKU di Wuhan, dua pegawai kerajaan tempatan dipecat

Menurut Suruhanjaya Pusat Pemeriksaan Disiplin (CCDI) China, pihak kerajaan tempatan tidak praktikal semasa menjalankan tugas.

Kematian remaja OKU di Wuhan, dua pegawai kerajaan tempatan dipecat | Astro Awani
PIHAK berkuasa China memecat dua pegawai kerajaan tempatan di wilayah Hubei - pusat penularan wabak koronavirus susulan kematian remaja orang kurang upaya (OKU) di kawasan luar bandar China pada Rabu lalu.

Menurut Suruhanjaya Pusat Pemeriksaan Disiplin (CCDI) China, kerajaan tempatan tidak praktikal semasa melakukan tugas sehingga menyebabkan berlakunya kematian.

Terdahulu, mangsa yang dikenali sebagai Yan Cheng, 17, ditinggalkan bersendirian di rumah tanpa penjagaan sesiapa selama enam hari.

Menurut pihak berkuasa tempatan, mangsa menghidap penyakit cerebral palsy iaitu sejenis kumpulan penyakit motor-neutron kekal yang sentiasa memerlukan perhatian.

Dia ditinggalkan keseorangan tanpa pengawasan kerana bapa mangsa, Yan Xiaowen, 49, dan adiknya yang berusia 11 tahun mengalami demam dan dikuarantinkan bersama adiknya yang mengalami masalah autisme oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Menurut rekod, kedua-dua mereka telah melancong ke Wuhan pada 17 Januari lalu untuk menyambut Tahun Baharu Cina di kampung mereka di Huahe, kira-kira 150 kilometer dari kawasan bermulanya penyebaran virus bahaya itu.

BACA: Koronavirus: Remaja OKU meninggal dunia ketika bapa dan adik dikuarantin

[LAPOR LANGSUNG] Angka korban lebih 400 di seluruh dunia

Keadaan itu menyebabkan mangsa ditinggalkan berseorangan tanpa sebarang penjagaan dan makanan.

Menurut sumber, bapa Yan sebelum ini telah meminta saudara-mara, pegawai kampung dan doktor dari kawasan tempat tinggalnya itu untuk menjaga dan mengawasi anaknya.

Tambah CCDI, pegawai yang perlu bertanggungjawab itu telah dibuang kerja dan akan dikenakan hukuman berat susulan kejadian yang menimpa itu.