Kematian akibat COVID-19 di New York melepasi angka korban tragedi 11 September

Serangan pada pagi 11 September 2001 mengakibatkan 2,977 orang terkorban.

New York mencatatkan sejumlah 731 kematian baharu akibat COVID-19 pada Selasa, menjadikannya lonjakan tertinggi setakat ini. -AP | Astro Awani
Angka kematian akibat COVID-19 di Bandar Raya New York sudah rasmi melepasi jumlah mangsa yang terkorban dalam serangan pengganas 9/11 hampir dua dekad lalu.

Sekurang-kurangnya 3,202 mangsa meninggal dunia di bandar itu akibat COVID-19.

Perkara itu disahkan pegawai kesihatan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, lapor Reuters.

Sebelum ini, terdapat laporan yang menyatakan mangsa korban COVID-19 di seluruh AS sudah melepasi angka korban serangan pada 2001.

Cuma, kali ini, korban tragedi di Bandar Raya New York sendiri telah melebihi angka itu.

VIDEO: Angka kematian COVID-19 di AS melebihi korban tragedi 9/11

Sejumlah 2,753 terbunuh di New York dalam kejadian serangan pesawat yang merempuh menara berkembar World Trade Center pada 11 September 2001.

Secara keseluruhannya 2,977 mangsa maut termasuk dalam episod serangan di Pentagon dan Pennsylvania.

Pada Selasa, New York mencatatkan sejumlah 731 kematian baharu akibat COVID-19, menjadikan ia lonjakan tertinggi setakat ini, iaitu hampir 5,500 untuk seluruh wilayah itu, kata Gabenor Andrew Cuomo.


Namun dari satu sudut, Cuomo menyatakan bahawa purata pesakit yang dimasukkan ke hospital menunjukkan pengurangan, termasuk mereka yang diberi bantuan pernafasan.

Itu sekali gus, menurut Cuomo, menunjukkan bahawa amalan penjarakan sosial menunjukkan hasil.

Meskipun angka terbaharu agak mengejutkan, Cuomo berkata ia bagaimanapun satu indikator yang terlambat, iaitu merujuk kepada mereka yang telahpun dimasukkan ke hospital pada minggu sebelumnya.

BACA: COVID-19: 1,000 petugas kesihatan dikerah ke New York

BACA: COVID-19: Trump jangka lebih banyak kematian di AS

Untuk rekod, pada pagi 11 September 2001, AS berdepan siri serangan terancang oleh pengganas yang dipertanggungjawab atas kumpulan ekstremis al-Qaeda, meskipun terdapat banyak laporan kemudiannya yang menyatakan kemungkinan tragedi itu satu konspirasi dalaman AS sendiri.

Serangan itu mengakibatkan 2,977 nyawa terkorban yang kebanyakannya merupakan mangsa yang berada dalam bangunan World Trade Center.

Kejadian menggemparkan itu menyebabkan lebih 25,000 orang cedera, selain kerugian harta benda dan infrastruktur yang mencecah nilai sekurang-kurangnya AS$10 bilion.