Jepun pertimbang cadangan tanggung separuh kos penerbangan pelancong

Ia satu usaha untuk menghidupkan kembali industri pelancongan yang mengalami kemerosotan mendadak.

Pesuruhjaya Agensi Pelancongan Jepun Hiroshi Tabata memaklumkan perincian skim itu masih di peringkat perbincangan. - Gambar hiasan | Astro Awani
Jepun sedang mempertimbangkan rancangan untuk membayar separuh kos penerbangan pelancong.

Jika diluluskan, rancangan itu akan dimulakan sebaik sahaja wabak COVID-19 dapat dikawal, sebagai usaha untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan yang mengalami kemerosotan mendadak.

Ada kemungkinan rancangan yang bakal menelan belanja £10.2 bilion boleh bermula seawal bulan Julai jika kadar jangkitan terus menurun, menurut Japan Times.

Pesuruhjaya Agensi Pelancongan Jepun Hiroshi Tabata memaklumkan perincian skim itu masih di peringkat perbincangan.

Salah satu cadangan dilaporkan termasuklah membayar separuh kos penerbangan pelancong.

Namun belum dapat dipastikan jika rancangan itu hanya terpakai untuk pelancong domestik sahaja, atau akan turut membabitkan pelancong luar.

Dengan Sukan Olimpik Tokyo 2021 yang direncanakan bakal berlangsung musim panas tahun depan, Jepun dilaporkan sedang mempertimbangkan pelbagai rancangan untuk memastikan sektor pelancongan dapat dihidupkan semula.

Jepun setakat ini mencatat 16,628 kes jangkitan dan 851 kematian akibat COVID-19.