George Floyd, kematian yang menggoncang dunia

Kata-kata terakhir George yang menyedihkan diolah menjadi puisi. Kematiannya benar-benar memberi kesan kepada dunia terutamanya negara yang kononnya paling maju pemikirannya, Amerika Syarikat.

Kematian George membangkitkan kemarahan rakyat Amerika. - Gambar Agensi | Astro Awani
“Tolong, tolong, saya tak boleh bernafas. Tolong benarkan saya berdiri,” rayu George Floyd, 46, kepada seorang anggota polis yang menekan lehernya dengan lutut pada Isnin.

Anggota polis tersebut memintanya untuk bertenang namun George mengulangi rayuannya: “Saya tak boleh bernafas. Tolong, lutut pada leher saya ini."

“Perut saya sakit. Leher saya sakit. Tolong, tolong. Saya tidak boleh bernafas,” kata George yang dilihat tercungap. Seketika kemudian, lelaki kulit hitam berusia 46 tahun itu diam, tidak bergerak.


Rupanya, peguam sivil yang ditahan kerana menyerupai seorang suspek kes pemalsuan itu meninggal dunia dalam keadaan menyedihkan selepas rayuannya tidak langsung diendahkan.

Kata-kata terakhir George yang menyedihkan itu lantas diolah menjadi puisi. Kematiannya benar-benar memberi kesan kepada dunia terutamanya negara yang kononnya paling maju pemikirannya, Amerika Syarikat.

Media sosial terutamanya Twitter dan Facebook ‘meletup’ dengan insiden tersebut. Meskipun sudah menjengah tahun 2020 namun keganasan terhadap komuniti kulit hitam di Amerika Syarikat seakan tiada penghujungnya.

George, 46, mati dipercayai kerana tercekik selepas polis menekan lehernya dengan lutut.

#JusticeForGeorgeFloyd dan #BlackLivesMatter kini trending di Twitter dengan hampir empat juta ciapan dimuat naik berkaitan tragedi tersebut.

Semuanya mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan anggota polis Minnesota yang menyebabkan George terbunuh. Meskipun semuanya telah dipecat namun ia tidak sedikit pun meredakan kemarahan warganet.

Kematian George pantas dikaitkan dengan isu perkauman malah ada yang berkongsi senarai nama penduduk kulit hitam yang dibunuh sebelum ini. Jika dihitung jumlahnya (termasuk George), angkanya melebihi 300 orang.

Rakyat Amerika mempertikaikan layanan berbeza dan agresif polis terhadap komuniti kulit hitam.

Kecaman tidak hanya berlaku di media sosial. Di dunia nyata, ribuan orang berdemonstrasi di Minnesota bagi menzahirkan solidariti kepada George. Mungkin kerana ‘amarah yang tersimpan’, demonstrasi acap kali bertukar menjadi ganas.

Ribuan rakyat berdemo bagi membantah tindakan kejam polis.

Bahkan, ada beberapa pendemo ‘menyerang’ rumah anggota polis yang didakwa membunuh George namun mereka tidak dapat berada lebih dekat kerana rumah tersebut dikawal puluhan anggota polis.

Kisah kematian dan rayuan diungkapkan George hampir sama dengan nasib menimpa Eric Garner pada 2014 di New York. Video konfrontasinya dengan beberapa anggota polis tular dalam media sosial pada tahun tersebut.

Garner didakwa melakukan kesalahan menjual rokok lari cukai namun tindakan agresif polis hingga menyebabkan kematiannya membangkitkan kemarahan rakyat Amerika. Sama seperti George, ribuan berdemonstrasi bagi mengecam tindakan terhadap Eric.

Kekejaman kepada komuniti kulit hitam yang berterusan berlaku turut mendapat respons daripada selebriti popular. Model terkemuka, Naomi Campbell memuat naik gambar George dalam versi hitam putih di laman Instagram beliau.

“Saya fikir kita boleh bersatu tapi nampaknya, koronavirus telah menyerlahkan sisi perkauman dengan cara yang di luar jangkaan,” tulis beliau.

Kekejaman terhadap komuniti kulit hitam di Amerika bukanlah isu baru namun ia seakan tidak berkesudahan.

Penyanyi popular, Justin Bieber turut berkongsi perasaan sama dan menyatakan: “Semua ini harus dihentikan.” Pelakon, Zoe Kravitz juga turut memuat naik status berkaitan George di Instagram beliau.

Pelawak dan pengacara, Ellen DeGeneres pula menulis: “Dengarkan suara orang yang paling dekat dengan tragedi, kemudian gunakan suara anda untuk mengangkat suara mereka.”