COVID-19: Thailand catat kes baharu tertinggi 188, keseluruhan 599

Peningkatan mendadak itu menunjukkan virus berkenaan sedang menular ke pelbagai bahagian lain di negara ini.

Peningkatan mendadak itu menunjukkan virus berkenaan sedang menular ke pelbagai bahagian lain di negara ini. | Astro Awani
Thailand mencatatkan jumlah tertinggi kes baharu COVID-19 hari ini iaitu sebanyak 188 kes, menjadikan keseluruhan 599 kes, dengan satu kematian.

Sebanyak 45 pesakit telah disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital manakala 553 masih dirawat, dengan tujuh pesakit berada dalam keadaan kritikal, setakat 11 pagi Ahad.

Daripada 188 kes pada Ahad, 108 kes sedang disiasat bagi sumber jangkitan dan peningkatan mendadak itu menunjukkan virus berkenaan sedang menular ke pelbagai bahagian lain di negara ini.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Awam Thaweesilp Wissanuyothin berkata 65 kes baharu ada kaitan dengan jangkitan awal, dengan 37 adalah kontak rapat kepada pesakit yang disahkan sebelum ini, 21 menyertai kejohanan Muay Thai di stadium, lima mengunjungi pusat hiburan dan dua lagi menyertai perhimpunan ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling di Malaysia.

Beliau berkata kes baharu lain membabitkan lapan dari luar negara dan tujuh lagi bekerja di tempat tumpuan ramai.

"Kebanyakan kes baharu di Bangkok adalah dalam kalangan golongan muda yang bekerja dan masih meneruskan aktiviti sosial. Kami berharap orang ramai tidak keluar rumah susulan penutupan beberapa venue utama bermula hari ini hingga 12 April.

"Orang ramai diminta tidak berkunjung ke wilayah lain untuk tempoh tiga minggu ini, jika tidak, bilangan kes baharu akan meningkat,' katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, pada Ahad.

Statistik menunjukkan kes baharu COVID-19 di Bangkok terus meningkat manakala di luar Bangkok pula berganda dalam tempoh tiga hari, daripada 75 kes pada 20 Mac kepada 236 kes pada Ahad.

Susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 minggu ini, beberapa venue utama di Thailand seperti pusat beli-belah, pusat hiburan, arena sukan dan stadium di Bangkok dan lima wilayah berdekatan - Nonthaburi, Pathum Thani, Samut Prakarn, Samut Songkram dan Nakhon Pathom ditutup bermula hari ini hingga 12 April, dalam usaha menyekat penyebaran wabak COVID-19.

Pasar raya yang menjual makanan dan keperluan harian, kedai runcit dan farmasi masih boleh beroperasi, begitu juga restoran yang menyediakan khidmat pembungkusan dan penghantaran dibuka.

Sementara itu, Thaweesilp berkata semua gabenor diarahkan supaya memantau orang ramai yang pulang ke kampung serta mengadakan kemudahan pengawasan dan pemeriksaan di wilayah dan kampung.

-- BERNAMA