COVID-19: Singapura catat kematian ke-27

Kematian terkini membabitkan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 62 tahun yang meninggal dunia di Hospital Besar Sengkang.

Sehingga tengah hari Selasa, sejumlah 196 kes jangkitan COVID-19 telah didiscaj dari hospital atau kemudahan isolasi komuniti. - REUTERS/Gambar hiasan | Astro Awani
Singapura, yang mencatat 347 kes baharu COVID-19 pada Selasa, melaporkan satu lagi kematian, menjadikan jumlah korban akibat jangkitan coronavirus setakat ini ialah 27 orang.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan republik itu (MOH) semalam, kematian terkini membabitkan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 62 tahun yang meninggal dunia di Hospital Besar Sengkang.

Dikenal pasti sebagai Kes No 17168, mangsa disahkan dijangkiti COVID-19 pada 30 April dan mempunyai sejarah penyakit diabetes mellitus, hipertensi 3 dan hiperlipidemia, menurut kementerian itu.

Singapura mencatat dua kematian pertamanya akibat COVID-19 pada 21 Mac.

Sehingga tengah hari Selasa, sejumlah 196 kes jangkitan COVID-19 telah didiscaj dari hospital atau kemudahan isolasi komuniti.

Sejumlah 42,737 pesakit, atau kira-kira 92 peratus, daripada jumlah keseluruhan iaitu 46,630 telah pulih sepenuhnya.

-- BERNAMA