COVID-19: Gereja di Berlin buka pintu untuk umat Islam tunai solat Jumaat

Pertolongan yang dihulurkan gereja merupakan petanda baik dan memberi kegembiran kepada umat Islam ketika berdepan krisis tersebut.

Gereja Martha Lutheran di Kreuzberg menawarkan ruang untuk umat Islam melaksanakan solat Jumaat pada bulan Ramadan. - Gambar REUTERS | Astro Awani
Normal baharu menyaksikan sebuah gereja di Berlin, Jerman membuka pintu untuk umat Islam bagi menunaikan solat Jumaat di rumah ibadat tersebut susulan peraturan penjarakan sosial yang dilaksanakan di masjid di negara itu.

Susulan langkah itu, Masjid Dar Assalam di daerah Neukölln di bandar tersebut hanya dapat memuatkan sebahagian jemaah bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19.

Masjid itu sebelum ini boleh memuatkan beratus-ratus jemaah setiap kali solat Jumaat.

Bagaimanapun, gereja Martha Lutheran di Kreuzberg mengambil pendekatan menawarkan ruang untuk umat Islam melaksanakan solat Jumaat pada bulan Ramadan.

Menurut imam Masjid Dar Assalam, Mohamed Taha Sabry, pertolongan tersebut merupakan petanda baik dan memberi kegembiran kepada umat Islam ketika berdepan krisis tersebut.

“Pandemik ini telah menjadikan kita sebuah komuniti. Krisis membawa penyatuan rakyat,” katanya.

Paa 4 Mei lalu, Jerman membenarkan semula aktiviti keagamaan tetapi para Jemaah perlu menjaga jarak sekurang-kurang 1.5 meter.