COVID-19: Boris Johnson dipindah ke ICU

Jurucakap Downing Street dalam satu kenyataan berkata beliau dipindahkan atas nasihat pasukan perubatannya dan kini sedang menerima rawatan terbaik

Boris Johnson telah dipindahkan ke ICU selepas simptom jangkitan koronavirus semakin teruk. -Gambar fail | Astro Awani
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas simptom jangkitan koronavirus "semakin teruk".

Jurucakap Downing Street dalam satu kenyataan berkata beliau dipindahkan atas nasihat pasukan perubatannya dan kini sedang menerima rawatan terbaik, lapor BBC.

"Perdana Menteri kini di bawah jagaan para doktor di Hospital St Thomas di London selepas dimasukkan ke wad dengan simptom koronavirus yang berterusan.

"Sepanjang tengah hari Isnin, keadaan perdana menteri semakin membimbangkandan atas nasihat pasukan perubatan, beliau telah dipindahkan ke unit rawatan rapi di hospital tersebut.

"PM sedang menerima jagaan terbaik, dan terima kasih diucapkan kepada semua staf NHS atas kerja keras dan dedikasi mereka," tulis kenyataan itu.


Johnson pada mulanya dibawa ke hospital untuk ujian rutin selepas disahkan positif koronavirus 10 hari lalu.

BACA: Boris Johnson dimasukkan ke hospital


Beliau dimasukkan ke hospital di London apabila menunjukkan "simptom berterusan" pada Ahad malam.

Simptom yang dihidapinya termasuk demam dan batuk.

Johnson dalam pada itu telah mengarahkan Setiausaha Luar Dominic Raab untuk membantu di mana perlu, kata jurucakap itu lagi.

Sementara itu, pemimpin dunia termasuk bekas perdana menteri Britain mendoakan yang terbaik buat Johnson atas perkembangan terbaharu ini.