COVID-19: Bilik mayat penuh, mangsa 'mungkin' dikebumi di taman awam New York

Ia susulan peningkatan kematian di negeri itu yang menghampiri angka 5,000 sehingga tiada tempat untuk menyimpan mayat.

Pandangan atas menunjukkan hospital sementara di Central Park, New York bagi menampung jumlah pesakit COVID-19 yang kian meningkat. -Reuters | Astro Awani
Mayat mangsa jangkitan koronavirus mungkin dikebumikan di taman-taman awam New York.

Ia susulan peningkatan kematian di negeri itu yang menghampiri angka 5,000 sehingga tiada tempat untuk menyimpan mayat, lapor The Guardian.

Ahli Majlis Manhattan, Mark Levine dilapor berkata sehingga Isnin petang, sejumlah 130,000 warga New York telah diuji positif virus itu, dengan 16,000 daripada mereka kini ditempatkan di hospital.

Setakat ini, sejumlah 4,758 kematian direkod di New York.

Levine mengumumkan wilayah itu sedang bersedia untuk memulakan langkah sementara dalam menghadapi krisis COVID-19.

"Jumlah mayat terus meningkat," kata Levine di akuan Twitter pada Isnin.

"Tempat simpanan mayat di Pejabat Ketua Pemeriksa Perubatan (OCME) di Manhattan dan Brooklyn tidak lama lagi akan penuh.

"Apa nak buat selepas itu?


"Tidak lama lagi, kita akan mulakan langkah pengebumian sementara ini. Ini mungkin dilakukan di sebuah taman NYC (ya, betul). Kubur panjang yang muat 10 keranda dalam satu baris akan digali."

Levine berkata OCME, rumah mayat hospital, rumah pengebumian dan tanah perkuburan kini berdepan situasi sepertimana ketika tragedi 9/11, dan pihak berkuasa kini bergelut mencari lokasi pengebumian.

"Ia akan dilakukan dengan cara yang tertib, teratur dan sementara. Namun pasti sukar untuk warga NY untuk menerimanya" katanya.

"Matlamatnya untuk mengelak keadaan seperti di Itali di mana tentera terpaksa mengutip mayat dari gereja dan juga di tepi jalan."

Namun, OCME dalam perkembangan terbaharu berkata kubur di taman itu hanya satu pilihan dalam perancangan menangani bencana, tetapi bukan yang menjadi pertimbangan atau perancangan, lapor NBC New York.

Datuk Bandar NY, Bill de Blasio berkata tapak pengebumian sementara mungkin terpaksa dilakukan namun enggan mengulas lebih lanjut.

Amerika Syarikat mencatatkan lebih 321,000 jangkitan dengan lebih 10,000 meninggal dunia akibat COVID-19.