COVID-19: AS berdepan kemungkinan catat 100,000 kes setiap hari

Tegas Fauci, kawalan kendiri lemah di kalangan rakyat antara penyumbang peningkatan berkenaan.

Sekiranya amalan ini tidak dihentikan, lebih ramai yang akan menderita, kata Fauci. - REUTERS/Gambar fail | Astro Awani
AMERIKA Syarikat (AS) berdepan situasi yang mencatat 100,000 jangkitan COVID-19 setiap hari.

Amaran dinyatakan Pengarah Institut Penyakit Berjangkit Nasional, Dr Anthony Fauci.

Kenyataan ini dibuat Fauci ketika memberi keterangan di hadapan Senat AS.

Tegas beliau, kawalan kendiri lemah di kalangan rakyat antara penyumbang peningkatan berkenaan.

“Jika anda meneliti situasi yang berlaku, anda boleh lihat klip visual yang menunjukkan orang ramai bersosial tanpa memakai topeng, berada di tempat sesak dan tidak memberi perhatian kepada garis panduan yang telah dikeluarkan.

“Kita akan terus berada dalam masalah. Sekiranya amalan ini tidak dihentikan, lebih ramai yang akan menderita,” katanya.

Amaran ini juga dibuat Fauci ketika jangkitan di AS meningkat 40,000 bagi tempoh sehari bagi lima hari berturut-turut.

Peningkatan berkenaan direkodkan di negeri-negeri selatan dan barat.

Ia menyebabkan 16 negeri menangguhkan pembukaan semula ekonomi masing-masing.