COVID-19: 248 kes baharu di Singapura, jumlah keseluruhan 47,126

Singapura merekodkan tambahan 248 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, dengan 11 daripadanya melibatkan jangkitan dalam komuniti.

Singapura merekodkan tambahan 248 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas. - Gambar fail/REUTERS | Astro Awani
Singapura merekodkan tambahan 248 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, dengan 11 daripadanya melibatkan jangkitan dalam komuniti, menjadikan angka keseluruhannya kini berjumlah 47,126.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura, dua daripada 11 kes dalam komuniti itu melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap, manakala tujuh merupakan pemegang pas kerja, dan dua adalah tanggungan pemegang pas.

Menurutnya terdapat empat kes import yang melibatkan mereka yang dikenakan notis duduk di rumah sebaik sahaja mereka tiba di Singapura, dan kebanyakan kes jangkitan masih melibatkan pekerja migran yang menginap di asrama.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 623 daripada kes yang direkodkan adalah kes import, manakala 2,084 sebagai kes komuniti dan 44,171 sebagai kes penghuni asrama.

Daripada jumlah itu 42,988 telah pulih sepenuhnya dan telah discaj dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Sehingga pukul 12 tengah hari semalam, 159 kes yang dishkan masih berada di hospital, dengan kebanyakan mereka dalam keadaan stabil dan semakin bertambah baik, tiada yang dirawat di unit rawatan intensif.

Menurut kenyataan itu 3,704 pesakit yang mempunyai somptom atau sihat secara klinikal namun masih diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan dijaga di kemudahan penjagaan komuniti.

Sehingga kini 27 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan jangkitan COVID-19 di Singapura.

Tiada kluster baharu dikesan semalam.

-- BERNAMA