COVID-19: 188 kes baharu di Singapura, 10 dalam komuniti

Singapura hari ini melaporkan 188 kes baharu jangkitan COVID-19 dengan 10 kes dalam komuniti, menjadikan jumlahnya di republik ini kepada 44,310 kes.

Kes komuniti itu melibatkan lapan rakyat Singapura atau penduduk tetap dan dua lagi pemegang pas pekerja. - Gambar fail/BERNAMA | Astro Awani
Singapura hari ini melaporkan 188 kes baharu jangkitan COVID-19 dengan 10 kes dalam komuniti, menjadikan jumlahnya di republik ini kepada 44,310 kes.

Menurut data ringkas tengah hari yang disiarkan oleh Kementerian Kesihatan MOH), kes komuniti itu melibatkan lapan rakyat Singapura atau penduduk tetap dan dua lagi pemegang pas pekerja.

Sebagai tambahan, terdapat kes import yang ditempatkan di bawah Notis Duduk-Rumah setibanya di Singapura manakala selebih kes baharu itu melibatkan pekerja asing di asrama, demikian menurut kementerian berkenaan.

Menurut data lengkap yang disiarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 1,890 daripada kes dikaitkan dengan komuniti, 586 kes import dan 41,646 melibatkan pekerja asing di asrama.

Setakad tengah hari semalam, 39,011 atau kira-kira 88 peratus daripada jumlah 44,122 pesakit didapati telah sembuh dan dibenar pulang dari hospital atau fasiliti penjagaan komuniti.

Terdapat 209 kes disahkan masih berada di hospital semalam dengan satu dirawat diunit rawatan rapi, menurut kementerian berkenaan.

Kenyataan itu menambah bahawa 4,876 pesakit yang mempunyai simptom sederhana atau secara klinikal sihat tetapi masih diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Setakad ini, 26 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19, dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Memandangkan tiada lagi kes dikaitkan dengan asrama di 48 Toh Guan Road East dan 7 Senoko South Road sejak dua tempoh inkubasi selama 28 hari yang lepas, kluster berkenaan kini telah ditutup.

Tiada kluster baharu dikenalpasti semalam.

-- BERNAMA