93 kes COVID-19 di Singapura, 62 pulih sepenuhnya

Singapura hari ini melaporkan dua lagi kes jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah kes positif di republik itu kepada 93 orang.

93 kes COVID-19 di Singapura, 62 pulih sepenuhnya | Astro Awani
Singapura hari ini melaporkan dua lagi kes jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah kes positif di republik itu kepada 93 orang.

Dalam satu kenyataan di sini, Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan kedua-dua kes terbaharu itu melibatkan warganegaranya yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

Menurut kementerian itu, empat lagi kes jangkitan COVID-19 telah dibenarkan keluar dari hospital hari ini, menjadikan 62 telah pulih sepenuhnya.

Antaranya ialah doktor hospital swasta yang disahkan dijangkiti virus itu pada 13 Feb dan seorang warga Bangladesh yang bekerja di tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights, seorang daripada kluster COVID-19 yang dikenal pasti di sini.

Daripada 31 kes yang disahkan masih di hospital, kementerian itu menjelaskan bahawa kebanyakannya stabil atau bertambah baik manakala tujuh dalam keadaan kritikal dalam unit penjagaan rapi.

Sehingga tengah hari tadi, kementerian telah mengenal pasti 2,848 kontak rapat yang telah dikuarantin dengan 2,589 telah menyelesaikan tempoh kuarantin mereka dan 259 sedang dikuarantin.

Setakat ini, lapan kes positif dikaitkan dengan kluster The Life Church and Missions Singapore; 23 kes kluster gereja Grace Assembly of God, sembilan kluster kedai ubat Yong Thai Hang; tiga dengan mesyuarat perniagaan swasta yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt Singapura dan lima dengan tapak pembinaan Seletar.

-- BERNAMA