36,000 kakitangan United Airlines bakal diberi notis cuti tanpa gaji

Penggantungan itu melibatkan sekitar 45 peratus kakitangan syarikat itu kerana tekanan permintaan perjalanan yang rendah disebabkan COVID-19 dan cabaran untuk pulih semula.

Jumlah akhir akan bergantung kepada bagaimana permintaan berkembang dan berapa ramai pekerja menerima pakej berhenti kerja serta cuti sementara. - Gambar AFP | Astro Awani
UNITED Airlines sedang mempersiapkan notis kepada 36,000 kakitangannya yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengenai kemungkinan diberi cuti tanpa gaji pada Rabu.

Penggantungan itu melibatkan sekitar 45 peratus kakitangan syarikat itu kerana tekanan permintaan perjalanan yang rendah disebabkan COVID-19 dan cabaran untuk pulih semula.

Bagaimanapun tidak semua kakitangan yang diberi notis akan diberi cuti tanpa gaji.

Jumlah akhir akan bergantung kepada bagaimana permintaan berkembang dan berapa ramai pekerja menerima pakej berhenti kerja serta cuti sementara.

Syarikat penerbangan itu akan mengeluarkan notis berkenaan 60 hari awal untuk mengikut undang undang.

Cuti tanpa gaji itu akan bermula pada 1 Oktober apabila larangan kerajaan terhadap penggantungan pekerja syarikat penerbangan yang menerima bantuan upah subsidi berakhir.

Presiden Persatuan Kru Kabin (AFA), Sara Nelson dalam satu kenyataan menyifatkan pemberian cuti tanpa gaji sebegitu adalah mendukacitakan.



Dalam masa yang sama, kesatuan pekerja kabin dan pekerja penerbangan lain menggesa kongres untuk meluluskan bantuan gaji bernilai 25 billion dolar untuk melindungi pekerjaan sehingga Mac.

Amaran pelaksanaan cuti tanpa gaji itu berbeza mengikut kumpulan kerja dengan kru kabin antara yang paling teruk terjejas dengan 15,000 hingga 25,000 daripada mereka akan menerima notis.

United Airlines sedang berunding dengan pelbagai kesatuan mengenai pilihan yang ada untuk mengurangkan jumlah kakitangan yang diberi cuti tanpa gaji.

Kru kabin misalnya ditawarkan dua pilihan cuti tanpa gaji iaitu selama lapan bulan hingga 1 Jun 2021 atau selama 13 bulan hingga 1 November 2021 di mana mereka masih mengekalkan faedah.

Untuk rekod, saham United Airlines kehilangan 3.3 peratus pada perdagangan tengah hari Rabu.

Perjalanan udara jatuh 95 peratus daripada Mac ke pertengahan April susulan arahan tinggal di rumah dilaksanakan dan penutupan sempadan negara.